MCMC siasat ADUN Manjoi

PUTRAJAYA 3 Sept. – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) mengesahkan telah  mengambil keterangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi Mohd Hafez Sabri berhubung hantaran palsu berunsur perkauman di media sosialnya.

Dalam kenyataan hari ini, MCMC memaklumkan sudah memulakan siasatan terhadap Hafez yang juga Timbalan Ketua Pemuda Pas itu dan keterangan diambil di Bukit Aman semalam.

Siasatan itu susulan MCMC mengesan Mohd Hafez memuat naik hantaran perkauman mengaitkan insiden seorang wanita menaiki pentas dan meluru ke arah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, ketika sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri di Ipoh, Ahad lalu.

Hantaran itu mendakwa kononnya tindakan itu dilakukan seorang wanita berbangsa Cina, meskipun Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M Kumar, menegaskan dakwaan itu tidak benar dan berpotensi menimbulkan ketegangan kaum serta persepsi negatif masyarakat.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), yang sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya, ” katanya.

Mohd Hafez kelmarin tampil memohon maaf dan mengakui kekhilafannya berhubung satu hantaran di Facebook yang tular, berkaitan insiden berkenaan.

Beliau mendakwa hantaran awal dibuatnya dimanipulasi pihak tidak bertanggungjawab, kemudian bertindak membetulkan semula selepas menyedari maklumat awal diperoleh tidak tepat mengenai kejadian itu.

MCMC berkata, penyebaran kandungan palsu berunsur perkauman adalah perbuatan serius yang boleh mengancam keharmonian dan ketenteraman awam.

Susulan itu, pihaknya menasihatkan orang ramai sentiasa mengesahkan kesahihan maklumat sebelum membuat atau menyebarkan sebarang kandungan di media sosial.

Nnn

Related posts

Leave a Comment