KUALA LLUMPUR1 Sept. – Menteri Kewangan Indonesia, Sri Mulyani Indrawati menyeru rakyat untuk terus membina Indonesia secara beradab, bukannya melalui anarki, kebencian atau fitnah.
Katanya, sistem demokrasi memberi ruang kepada rakyat untuk melakukan semakan kehakiman sekiranya hak mereka dilanggar, termasuk membawa perkara ke Mahkamah Agung jika berlaku penyimpangan dalam pelaksanaan undang-undang.
Menurutnya, inilah ciri demokrasi beradab yang perlu dipertahankan dan terus diperbaiki.
“Mari kita jaga dan bangun Indonesia bersama, tidak dengan merusak, membakar, menjarah, memfitnah, pecah belah, kebencian, kesombongan, dan melukai dan mengkhianati perasaan publik,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Hantaran itu susulan insiden rompakan beramai-ramai yang berlaku di kediaman peribadinya di Bintaro, Tangerang Selatan pada Ahad.
Beliau menyatakan bahawa usaha membangunkan Indonesia adalah satu perjuangan yang kompleks, penuh liku dan cabaran – sebagaimana yang pernah ditempuhi oleh para pemimpin terdahulu.
“Politik adalah perjuangan bersama demi cita-cita mulia bangsa, yang mesti dijalankan dengan etika dan moral yang luhur. Sebagai penjawat awam, saya telah disumpah untuk menegakkan UUD 1945 dan semua undang-undang. Ini bukan soal kehendak peribadi,” tulisnya.
Beliau juga menekankan bahawa tugas negara harus dilaksanakan dengan amanah, integriti, kejujuran dan profesionalisme, serta bebas daripada amalan rasuah.
“Tugas ini adalah satu penghormatan dan amanah yang luar biasa mulia. Ia menuntut kebijaksanaan, empati dan kepekaan terhadap suara masyarakat,” jelasnya.
Dalam hantaran tersebut, Sri Mulyani turut merakamkan ucapan terima kasih kepada pelbagai pihak – termasuk masyarakat umum, netizen, guru, mahasiswa, media, pengusaha UMKM, koperasi, syarikat besar dan semua pemegang taruh – atas kritikan, nasihat dan sokongan yang diberikan.
Sri Mulyani turut memohon maaf atas segala kekurangan sepanjang tempoh beliau berkhidmat sebagai penjawat awam.
“Kami mohon maaf, pasti masih banyak kekurangan. Bismillah, kami akan terus memperbaiki. Semoga Allah SWT memberkahi dan melindungi Indonesia. Jangan pernah lelah mencintai Indonesia,” tulisnya.
Nnnnn
