Johor pertahan arahan tutup premis 30 hari

SEPANG 30 Ogos – Kerajaan negeri Johor mempertahankan arahan penutupan 30 hari oleh Majlis Perbandaran Pontian terhadap dua premis yang mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik adalah seperti termaktub dalam peruntukan undang-undang.

Justeru Exco Johor Mohd Jafni Md Shukor berkata, tindakan itu bukan bersifat ‘ultra vires’ atau keterlaluan sebaliknya amaran keras agar semua pihak tidak cuai atau bersikap sambil lewa apabila menyentuh isu berhubung kait kedaulatan dan maruah negeri serta negara.

Beliau berkata, arahan penutupan premis adalah selari sebagaimana peruntukan yang dinyatakan di dalam UUK 49(2), Kuasa Menutup Premis, setelah pengesahan terhadap pelanggaran peruntukan yang dilakukan oleh premis berkenaan.

“Ia kekal sebagaimana UUK 45(1), Pengibaran Bendera, Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MDP) 2019. Ini bermakna tindakan berkenaan mempunyai asas undang-undang yang kukuh dan bukan keputusan sewenang-wenangnya,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor itu dalam kenyataannya menegaskan, sekiranya insiden seperti ini berulang, tindakan yang lebih tegas dan tanpa kompromi akan diambil.

“Selepas 68 tahun Malaysia merdeka, alasan kecuaian yang sama tidak seharusnya terus berulang kerana kesilapan ini bukan perkara kecil, malah merupakan tamparan terhadap kedaulatan yang diperjuangkan dengan darah dan air mata,” katanya.

Pada 26 Ogos lalu, sebuah pasar mini di Pekan Nanas diarahkan tutup selama 30 hari selepas didapati mengibarkan bendera Johor secara terbalik selepas perbuatan itu tular di media sosial dan mencetuskan kemarahan orang ramai.

Terdahulu, pada 21 Ogos sebuah klinik pergigian swasta di Pusat Perdagangan Pontian diarahkan tutup selama 30 hari selepas dikesan mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik.

Mohd Jafni berkata, Kerajaan Negeri Johor memandang serius dua insiden pemasangan bendera secara terbalik itu dan mengingatkan Bangsa Johor tanpa mengira kaum atau latar belakang supaya menghormati Jalur Gemilang dan Bendera Johor.

“Ini bukan pilihan, tetapi kewajipan. Bendera bukan sekadar kain yang berkibar di tiang; ia adalah simbol kedaulatan, maruah dan kesetiaan. Hormat kepada bendera bermakna hormat kepada negeri dan negara itu sendiri.

Justeru, setiap rakyat mempunyai tanggungjawab moral dan undang-undang untuk memelihara lambang ini, manakala alasan kecuaian pekerja adalah tidak wajar kerana majikan warganegara wajib bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kesalahan dan kesilapan yang berlaku di premis masing-masing,” katanya.

Katanya , ketegasan undang-undang amat penting supaya setiap rakyat dan pihak berkepentingan benar-benar menghormati lambang kedaulatan negara serta negeri, sekali gus menutup ruang daripada alasan remeh yang boleh mencemarkan maruah bendera.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment