KUALA LUMPUR 21 Ogos – Dewan Rakyat diberitahu, kerajaan tidak bercadang menganjurkan semula kejohanan Formula 1 (F1) memandangkan kos yuran hak penganjuran, penyediaan fasiliti yang tinggi dan kalendar perlumbaan yang padat.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, berkata banyak perkara yang perlu dipertimbangkan termasuk perbelanjaan yang perlu ditanggung mencecah RM300 juta setiap tahun sekiranya mahu menganjurkan semula kejohanan berprestij itu.
Katanya , penganjuran F1 di Malaysia setiap tahun akan memerlukan kerajaan untuk melabur sekitar RM300 juta setahun untuk membayar yuran hak penganjuran kepada Liberty Media, iaitu pemegang hak komersil F1.
Kejohanan F1 mula dianjurkan di Malaysia pada 1999, menjadikan negara pertama di Asia Tenggara menganjurkannya selama 19 tahun.
Malaysia perlu mengikat kontrak penganjuran sepanjang tiga hingga lima tahun dengan Liberty Media dan ini akan melibatkan komitmen yuran hak penganjuran kejohanan F1 sekitar RM1.5 bilion untuk tempoh berkenaan.
Begitu juga kos penyediaan litar dan penganjuran acara turut perlu diambil kira kerana Litar Antarabangsa Sepang (SIC) masih mengekalkan penarafan homologasi litar Gred 1 Federation Interationale de I’Automobile (FIA).
“Ia memerlukan RM10 juta setiap tahun untuk memastikan keselamatan litar dan fasiliti sokongan menepati standard penarafan,” katanya menjawab pertanyaan Oscar Ling Chai Yew (PH-Sibu) sama ada Malaysia boleh menganjurkan semula F1.
Dengan penjimatan sebanyak itu, beliau berkata kementerian dapat melaksanakan program pembangunan 20 jenis sukan membabitkan seramai 363 atlet podium serta 9,834 atlet pembangunan bakat dengan kos keseluruhan sebanyak RM124.1 setahun.
Dengan jumlah RM300 juta juga, beliau berkata kementerian mampu menampung beberapa kali ganda pelaksanaan program pembangunan bakat, iaitu bersamaan dua tahun atau empat tahun penuh.
“Selain itu, peruntukan kos penyediaan litar sebanyak RM10 juta boleh menampung program Road to Gold (RTG) setahun. Dengan jumlah yang sama, kerajaan memperuntukan Geran Padanan Sukan (GPS) yang bernilai RM30 juta setahun untuk tempoh 10 tahun.
“GPS ini amat penting kerana ia merangsang pertumbuhan ekonomi sukan melalui penglibatan sektor swasta dalam penganjuran acara sukan bertaraf kebangsaan dan antarabangsa,” katanya.
