KUALA LUMPUR 21 Ogos – Anwar Ibrahim masih menunggu laporan penuh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk diteliti terlebih dahulu sebelum memutuskan sama ada perlu memohon maaf kepada Muhyiddin Yassin.
Perdana Menteri berkata, beliau menyerahkan kepada MCMC untuk menjalankan siasatan lanjut bagi mengesahkan kesahihan sumber yang dirujuk berhubung kenyataan yang dibuat di Parlimen baru-baru ini.
Ia berhubung kenyataan bahawa Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu mempertahankan warga asing dalam isu penyasaran subsidi RON95.
“Kita akan lihat kepada laporan MCMC,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Forum Undang-Undang ASEAN 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini hari ini.
Perdana Menteri berkata, Ahli Parlimen Pagoh itu juga perlu meminta maaf kerana banyak membuat tuduhan serta fitnah terhadapnya.
“Dia pun kena minta maaf, banyak tuduhan dan fitnah dilempar (dengan berkata) kerajaan zalim, tak bagi peruntukan kepada Kelantan, beratus (tuduhan) yang disebut di Parlimen dan di luar Parlimen,” tambah Anwar.
Pada 7 Ogos lalu, Muhyiddin menuntut Anwar meminta maaf berhubung kenyataan Perdana Menteri yang mendakwa beliau mempertahankan warga asing dalam isu penyasaran subsidi RON95.
Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu dilaporkan berkata, jika tidak meminta maaf, beliau akan membuat usul kepada Dewan Rakyat untuk merujuk Perdana Menteri ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.
Anwar kemudiannya menyatakan kesediaan membuat permohonan maaf sekiranya terbukti kenyataan beliau itu yang dibuat berdasarkan tiga sumber maklumat diterimanya, tidak bersandarkan sumber sahih.
Nnnnn
