PONTIAN 17 Ogos – Kerusi luar bandar dijangka ditandingi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini manakala Pakatan Harapan (PH) pula diberi kerusi bandar susulan rundingan pembahagian kerusi
Ketua Sekretariat War Room UMNO Pusat, Ahmad Maslan, berkata agihan kerusi yang dimuktamadkan itu juga memberi isyarat positif gabungan BN-PH sedang berada di landasan tepat untuk pecutan terakhir bagi menghadapi PRN.
Bagaimanapun Ahli Parlimen Pontian itu berkata, jumlah kerusi diperoleh BN akan
diumum pucuk pimpinan parti.
Beliau berkata demikian selepas penyampaian bantuan kepada pelajar berjaya melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi awam dan swasta Parlimen Pontian, di sini, hari ini.
Semalam, Pengerusi BN, Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, pengagihan kerusi antara BN dan PH menjelang PRN Sabah sudah dimuktamadkan tanpa sebarang pertindihan.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri dilaporkan, berkata tiada sebarang rundingan dilakukan antara BN dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) membabitkan pembahagian kerusi atau kerjasama bagi menghadapi PRN itu sebagai menghormati PH.
Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-16 akan terbubar secara sendiri pada 11 November ini sekiranya DUN tidak dibubarkan sebelum tarikh itu, seterusnya memberi laluan kepada PRN Sabah ke-17.
Ahmad yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, berkata persiapan BN dan UMNO kali ini lebih awal, tersusun dan sistematik berbanding PRN Sabah pada 2020.
BN berharap persiapan yang dibuat lebih awal dan tersusun ini akan membuahkan keputusan yang baik pada PRN Sabah nanti.
“Sebagai contoh, saya sebagai Ketua Sekretariat War Room UMNO Pusat sudah meninjau ke 20 bahagian di Sabah, cuma tinggal baki lima bahagian lagi iaitu Kimanis, Tenom, Kinabatangan, Libaran dan Penampang untuk dilawati dan diperiksa,” katanya.
Ahmad berkata, persiapan lebih rapi bagi menghadapi PRN Sabah adalah hasil pembabitan aktif pimpinan parti peringkat negeri dan pusat.
“Mesyuarat perwakilan UMNO bahagian di Sabah turut dirasmikan oleh pelbagai pimpinan, termasuk Presiden UMNO, Timbalan Presiden dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri.
“Semua usaha itu memberi keyakinan bahawa UMNO Sabah dan BN mampu mencapai keputusan lebih baik kali ini,” katanya.
Nnnn
