Jangan goyah kesatuan 18 parti Kerajaan Perpaduan

PASIR SALAK 17 Ogos – Presiden UMNO, Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan pemimpin UMNO supaya tidak mengambil tindakan yang boleh menggoyahkan kesatuan  dalam kalangan 18 parti di dalam Kerajaan Perpaduan.

Katanya, tindakan mengejar populariti menerusi isu-isu semasa perlu dielakkan supaya hubungan baik dengan pemimpin parti lain dan akar umbi tidak terjejas.

“Jangan hanya berhasrat untuk mempopularkan sesuatu isu atau berhasrat menjadikan diri sebagai orang paling popular akhirnya akan menjejeaskan hubungan baik antara pemimpin-pemimpin parti dan apa lagi di peringkat akar umbi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan pemimpin parti di dalam Kerajaan Perpaduan yang berhasrat memutuskan hubungan dengan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh.

Pemuda Sosialis DAP Pulau Pinang (DAPSY) meminta kepemimpinan parti itu memutuskan hubungan politik dengan Dr  Muhamad Akmal berikutan tindakannya mengetuai perarakan dan demonstrasi berkaitan pemasangan Jalur Gemilang terbalik di hadapan sebuah kedai di Kepala Batas, Pulau Pinang, baru-baru ini.

Terdahulu Ahmad Zahid hadir Program Santunan Desa Kemas Negeri Perak Bersama JPKK Dan Komuniti Kemas di Dewan Besar Bandar Baru Felcra Seberang Perak, di sini.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, pihaknya prihatin dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh beberapa pemimpin parti di dalam Kerajaan Perpaduan yang mahu memutuskan hubungan dengan salah seorang pemimpin partinya.

“Saya berpandangan bahawa sesuatu keputusan itu jangan dibuat oleh kerana peristiwa-peristiwa yang berlaku di antara kepemimpinan parti dan juga dengan pendirian parti.

“Di dalam keadaan itu saya memikirkan ada garis pemisah dan pertemuan yang kita boleh lakuan dan pandangan saya agar tindakan perundangan jika melanggar undang-undang mesti dilakukan,” katanya.

Beliau mengingatkan sebarang isu melibatkan pemimpin parti perlu ditangani dengan bijaksana tanpa mencampur adukkan antara tindakan perundangan dan keputusan politik.

Katanya, jika sesuatu perkara jelas melanggar undang-undang, maka tindakan sewajarnya mesti diserahkan kepada pihak berkuasa, manakala soal politik pula harus diselesaikan menerusi saluran parti.

Related posts

Leave a Comment