Pertahanan negara bukan ‘pasar malam komisen’

SEPANG 17 Ogos – Putra menyokong penuh titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, yang menegaskan supaya Kementerian Pertahanan (Mindef) membatalkan cadangan pembelian helikopter Black Hawk lama berusia lebih 30 tahun.

Presiden Putra, Dr Ibrahim Ali berkata, titah baginda bukan sekadar nasihat, tetapi peringatan sejarah yang lahir daripada pengalaman negara.

“Baginda mengingatkan kegagalan pahit projek SkyHawk bahawa aset lama yang akhirnya menjadi besi buruk tanpa manfaat, meskipun berbilion ringgit duit rakyat telah dibazirkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Ibrahim mendakwa penyelewengan Mindef sudah melampau yang mengingatkan rakyat bahawa isu seumpama ini bukan kali pertama Mindef terpalit dengan penyelewengan besar.

Beliau mengambil contoh projek Littoral Combat Ship (LCS) dan projek-projek lain yang penuh tanda tanya, daripada harga tidak masuk akal, kelewatan kronik, sehingga kegagalan sistemik.

Semalam, Sultan Ibrahim selaku pemerintah tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bertitah supaya Mindef membatalkan cadangan pembelian helikopter Black Hawk lama berusia lebih 30 tahun dan tidak mengulangi kesilapan dahulu.

Sultan Ibrahim bertitah pada Titah Diraja sempena Perbarisan Hari Ulang Tahun Rejimen Gerak Khas Ke-60 di Kem Iskandar, Mersing pada Sabtu

“Jangan ulang kesilapan dahulu apabila kita beli pesawat SkyHawk secara second-hand. Adakah kita hendak letak juruterbang kita dalam ‘keranda terbang’? Awak fikirlah sendiri.

“Saya percaya “(cadangan) ini semua berlaku kerana di Kementerian Pertahanan penuh dengan ejen atau bekas jeneral yang menjadi jurujual malah ada syarikat penjual kain pun masuk hendak jual drone,” titah baginda.

Dalam pada itu, Ibrahim berkata, aset pertahanan seharusnya moden, berteknologi tinggi, dan menepati keperluan operasi bukannya Black Hawk lama membawa risiko tinggi, kos penyelenggaraan melambung, dan tiada nilai strategik jangka panjang.

“Membeli aset usang hanya mengulangi “projek rugi” seperti SkyHawk dan Scorpene. Duit rakyat akan terus hangus tanpa pulangan,” katanya.

Mengenai integriti, Sultan Ibrahim sendiri mendedahkan kewujudan orang tengah, bekas pegawai tentera jadi broker, malah individu tidak berkelayakan masuk campur dalam urusan pertahanan.

“Ini mencerminkan betapa parahnya budaya komisen dan “lubuk emas” dalam Mindef. Pertahanan negara bukan pasar malam komisen. Setiap kali aset lapuk dibeli, yang kaya hanyalah orang tengah, yang sengsara rakyat dan perajurit.

Jika kerajaan berdegil, rakyat akan melihat bahawa Madani sanggup menggadaikan kedaulatan negara demi kroni dan keuntungan jangka pendek. Nyawa tentera kita lebih berharga daripada poket broker,” kata Ibrahim.

Putra menuntut ketelusan bagi memastikan maruah dan kedaulatan negara tidak terus dijual beli dan dalam hal ini mendesak kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Bebas Pertahanan untuk menyiasat urusan perolehan ATM sejak dua dekad lalu.

“Bongkar sindiket komisen, laksanakan dasar ketelusan penuh dalam setiap pembelian pertahanan, mengutamakan keselamatan nyawa perajurit sebagai prinsip utama, bukan keuntungan orang tengah,” kata Ibrahim.

Putra juga menjunjung kasih di atas keberanian Sultan Ibrahim menegur isu ini secara terbuka yang membuktikan bahawa raja dan rakyat berpadu menolak budaya pengkhianatan dalam pertahanan negara.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment