Israel kini masalah utama – PM Denmark

COPENHAGEN – Perdana Menteri Benjamin Netanyahu, kini sudah menjadi satu ‘masalah utama’ dengan kerajaan Israel sudah melampaui batas, kata Perdana Menteri Denmark, Mette Frederiksen.

Sehubungan itu, beliau menegaskan akan berusaha menekan Israel berhubung perang di Gaza memandangkan Denmark kini memegang jawatan Presiden Kesatuan Eropah (EU).

Dalam wawancara bersama akhbar harian Jyllands-Posten, pemimpin berhaluan tengah kanan itu mengecam krisis kemanusiaan di Gaza yang disifatkannya sebagai ‘amat mengerikan dan mencapai tahap bencana’,.

Beliau turut mengkritik projek penempatan baharu di Tebing Barat yang diduduki.

“Kami antara negara yang mahu meningkatkan tekanan ke atas Israel, namun masih belum mendapat sokongan daripada negara anggota EU,” katanya.

Frederiksen mahu mempertimbangkan ‘tekanan politik, sekatan sama ada terhadap peneroka, menteri atau Israel secara keseluruhan’, merujuk kepada kemungkinan sekatan perdagangan atau penyelidikan.

“Kami tidak menolak sebarang pilihan lebih awal. Sama seperti dengan Russia, kami merangka sekatan untuk menyasarkan pihak yang kami percaya akan memberi kesan paling besar,” katanya, sambil mengingatkan Denmark bukan antara negara yang menyatakan hasrat untuk mengiktiraf negara Palestin.

Dalam pada itu, agensi pertahanan awam Gaza berkata sekurang-kurangnya 39 orang terbunuh akibat serangan Israel semalaman.

Serangan diperhebatkan sejak tentera rejim itu memberi bayangan mengenai arahan baharu untuk menggesa orang awam meninggalkan Bandar Gaza menjelang satu lagi serangan.

Angka korban terbaharu itu dilaporkan lebih seminggu selepas Kabinet keselamatan Israel meluluskan rancangan menawan bandar terbesar wilayah Palestin itu, di mana perang 22 bulan menyebabkan krisis kemanusiaan yang semakin kritikal.

Nnn

Related posts

Leave a Comment