Persiapan pindahkan penduduk Gaza

BAITULMUQADDIS – Selepas diisytiharkan sebagai zon pertempuran, tentera Israel hari ini mula membekalkan penduduk Gaza dengan khemah dan kelengkapan perlindungan lain sebelum memindahkan mereka ke bahagian selatan wilayah itu.

Israel sebelum ini menyatakan hasrat melancarkan serangan baharu untuk menguasai utara Bandar Gaza, pusat bandar terbesar di wilayah berkenaan dan serangan besar-besaran dijangka dilancarkan dalam masa terdekat.

Rancangan itu mencetuskan kebimbangan antarabangsa mengenai nasib penduduk di kawasan padat berpenghuni, yang didiami kira-kira 2.2 juta orang.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, hari ini berkata sebelum melancarkan serangan, penduduk awam akan dipindahkan ke kawasan yang didakwanya sebagai ‘zon selamat’ dari Bandar Gaza yang digambarkannya sebagai kubu terakhir Hamas.

Tentera Israel memaklumkan, kelengkapan perlindungan itu akan dihantar melalui lintasan Kerem Shalom di selatan Gaza oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan agensi bantuan antarabangsa lain selepas diperiksa oleh pegawai Kementerian Pertahanan.

Bagaimanapun, setakat ini PBB belum mendapat sebarang arahan lanjut mengenai pengumuman Israel itu.

Sebaliknya, PBB pada Khamis lalu memberi amaran ribuan keluarga sudah pun berdepan krisis kemanusiaan amat kritikal mungkin berada di ambang kehancuran sekiranya rancangan Israel di Bandar Gaza diteruskan.

Dalam pada itu, Pegawai Palestin dan PBB menegaskan tiada kawasan yang benar-benar selamat di Gaza termasuk di selatan wilayah itu, lokasi yang diarahkan Israel untuk penduduk Gaza berpindah.

Sehingga kini, tentera Israel enggan mengulas ketika ditanya sama ada kelengkapan perlindungan itu disediakan untuk kira-kira sejuta penduduk Bandar Gaza ketika ini dan sama ada lokasi pemindahan mereka di selatan Gaza adalah bandar Rafah, yang bersempadan dengan Mesir.

Nnn

Related posts

Leave a Comment