Pas nasihat UMNO, DAP cari jalan damai

SEPANG 16 Ogos  – Arahan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke supaya sayap parti itu membuat laporan polis terhadap Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Salleh berhubung himpunan di Kepala Batas baru-baru ini sebagai tindakan berlebih-lebihan, janggal dan berpotensi memburukkan keadaan.

Setiausaha Agung Pas,  Takiyuddin Hassan berkata, sebagai parti dalam gabungan kerajaan di peringkat pusat dan negeri, DAP dan UMNO sepatutnya mencari jalan damai secara dalaman tanpa melibatkan orang lain termasuk polis atau orang awam dengan naratif yang tidak sihat.

Takiyuddin berkata, suasana tidak selesa ini hanya berpunca daripada tindakan seorang individu memasang Jalur Gemilang secara terbalik dan sudah dalam siasatan polis tetapi diperbesarkan oleh saling tindakan kedua-dua parti dengan alasan dan motif masing-masing.

“Pas percaya kedua-dua pihak hendaklah menghormati dan menyokong proses rasmi siasatan polis yang sedang berjalan tanpa menambah tekanan tidak perlu.
Kegagalan berbuat demikian hanya akan membawa kita hanyut, malah boleh menjerumus kepada masalah berisiko lebih besar,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Ahli Parlimen Kota Bharu itu, tindakan tidak berhemah oleh satu pihak akan mengundang tindak balas serupa atau lebih buruk dan dalam hal ini, Pas secara tegasnya menasihati Pemudanya supaya tidak campur dalam peristiwa tersebut.

“Sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-68 tidak lama lagi, Pas menggesa semua pihak kembali menghayati falsafah pembentukan negara serta prinsip Rukun Negara demi merealisasikan cita-cita perpaduan dan kemakmuran tanpa mengira latar belakang,” ujarnya.

Terdahulu, Loke mengarahkan sayap parti itu Pemuda Sosialis (DAPSY) membuat laporan polis berhubung tindakan Akmal mengetuai satu perarakan dan perhimpunan di Kepala Batas.

Loke dalam kenyataannya mengecam tindakan Akmal mengetuai perarakan dan demonstrasi di depan sebuah kedai logam walaupun amaran dari Ketua Polis Negara dan Ketua Polis Pulau Pinang supaya tidak ada sebarang perhimpunan.

Beliau juga menyifatkan, tindakan tersebut satu bentuk buli dan ugutan terhadap peniaga itu walaupun siasatan masih dijalankan

Nnnn

Related posts

Leave a Comment