SINGAPURA – Sebanyak 65 kes membabitkan pemilikan, penjualan atau pengimportan rokok elektronik (e-vaporiser) yang mengandungi etomidate sedang disiasat pihak berkuasa.
Setakat semalam, lima individu sudah didakwa di mahkamah kerana menjual atau mengimport e-vaporiser bercampur etomidate, itu yang diklasifikasikan sebagai dadah terkawal Kelas C di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah.
Di bawah akta itu, pesalah yang didapati menggunakan e-vaporiser bercampur etomidate akan dikenakan pengawasan serta pemulihan mandatori.
Kementerian Kesihatan (MOH) dan Pihak Berkuasa Sains Kesihatan (HSA), Singapura mempergiatkan tindakan penguatkuasaan terhadap kesalahan berkaitan peranti tersebut termasuk e-vaporiser bercampur etomidate.
Menurut satu kenyataan, di bawah Akta Racun, individu yang didapati memiliki, mengimport atau menjual pod mengandungi etomidate boleh dikenakan hukuman maksimum penjara sehingga dua tahun dan/atau denda sehingga S$10,000, jika sabit kesalahan.
Etomidate akan diklasifikasikan sebagai dadah terkawal Kelas C di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah dan pesalah yang didapati menggunakan e-vaporiser bercampur etomidate akan dikenakan pengawasan serta pemulihan mandatori.
Pesalah berulang boleh didakwa dan dikenakan hukuman penjara sekurang-kurangnya setahun dengan hukuman lebih berat dikenakan kepada mereka yang menjual, mengedar atau mengimport peranti ini, termasuk penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.
Sementara itu, seramai 100 individu sedang disiasat atas kesalahan menjual, mengiklankan atau mengimport e-vaporiser di bawah Akta Tembakau (Kawalan Iklan dan Penjualan) manakala 18 lagi berdepan pertuduhan di mahkamah.
Pemilikan, penggunaan atau pembelian e-vaporiser membawa hukuman maksimum denda S$2,000 dan ia juga menjadi kesalahan untuk mengimport, mengedar, menjual atau menawarkan untuk menjual e-vaporiser dan komponennya.
Mereka yang disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga S$10,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama, dan denda sehingga S$20,000 atau penjara sehingga 12 bulan atau kedua-duanya bagi kesalahan kedua atau seterusnya.
Nnnn
