ISLAMABAD – Pakistan yang menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-78, menubuhkan pasukan baharu dalam angkatan tenteranya bagi menyelia keupayaan tempur peluru berpandu dalam konflik konvensional.
Penubuhan pasukan yang dilengkapi teknologi moden itu dilihat sebagai usaha menyaingi seteru utamanya, India.
Perdana Menteri, Shehbaz Sharif mengumumkan penubuhan Army Rocket Force semalam dalam satu majlis di Islamabad bagi memperingati konflik terburuk dengan India dalam tempoh beberapa dekad pada bulan Mei lalu.
Beliau yang tidak mengulas lanjut mengenai butiran penubuhan pasukan berkenaan menyifatkan pasukan itu sebagai pencapaian penting dalam memperkukuh keupayaan tempur tentera Pakistan.
Seorang pegawai keselamatan kanan berkata, pasukan itu akan mempunyai arahan tersendiri dalam angkatan tentera dan akan diberi tanggungjawab mengendalikan serta menempatkan peluru berpandu sekiranya berlaku perang konvensional.
Dalam pada itu, Shehbaz Sharif dalam perutusannya menzahirkan tekad untuk melindungi kedaulatan Pakistan.
“Kami sebagai sebuah negara yang aman mengulangi keyakinan terhadap prinsip hidup bersama secara aman serta menyelesaikan isu serantau dan global melalui dialog dan diplomasi,” kata Sharif.
Beliau berkata, Pakistan bertekad menggembleng semua sumber yang ada untuk menangani cabaran ekonomi, perindustrian dan teknologi yang kian muncul.
Pakistan dan India, negara bersenjata nuklear itu terus meningkatkan keupayaan ketenteraan berikutan pertikaian yang berlarutan sejak merdeka daripada penjajah British pada 1947.
Ketegangan terbaru tercetus pada April lalu berikutan pembunuhan 26 orang awam di Kashmir yang ditadbir India, insiden yang dituduh New Delhi berpunca daripada Islamabad, tetapi dinafikan Pakistan.
Konflik memuncak pada Mei, menyaksikan pertempuran paling serius antara kedua-dua negara dalam tempoh beberapa dekad dengan penggunaan peluru berpandu, dron dan jet pejuang sebelum ia berakhir menerusi pengumuman gencatan senjata oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Islamabad mengakui peranan AS dalam mengatur gencatan senjata itu, namun India menafikannya dengan menyatakan ia dipersetujui terus antara kedua-dua angkatan tentera.
