“Diam, andai teruskan AIDS”

KUALA LUMPUR 14 Ogos  – “Diam, andai teruskan, AIDS,” demikian mesej ugutan yang diterima isteri bekas Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli sekitar 1.12, iaitu selepas anak lelaki mereka yang berusia 12 tahun diserang semalam.

Ahli Parlimen Pandan itu berkata, mesej pertama yang diterima melalui telefon isterinya adalah pada 1.12 dan mesej kedua melalui aplikasi WhatsApp pada pukul 11.02 pagi hari ini dengan kandungan sama, diikuti tiga emoji picagari.

Semalam Rafizi mendedahkan anaknya ditarik dan dicucuk dengan jarum suntikan oleh orang yang tidak dikenali semasa sedang memasuki kereta di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya.

“Kedua-dua mesej ini dihantar dari nombor telefon yang sama. Kami telah melaporkan perkara ini kepada pihak polis dan saya percaya ia mungkin akan berterusan,” katanya pada sidang media di Parlimen.

Rafizi berkata insiden itu membangkitkan kebimbangan keselamatan keluarganya dan menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan segera.

Ahli Parlimen Pandan itu percaya kejadian serangan terhadap anak lelakinya itu ada kaitan dengan cubaan ‘menutup mulutnya’ berkaitan satu skandal.

Rafizi bagaimanapun tidak mendedahkan secara terperinci mengenai ‘skandal’ berkenaan, namun memberitahu, maklumat itu diterima hasil perjumpaannya dengan sekumpulan pemberi maklumat, Rabu minggu lalu.

“Pada hemat saya, ini bersabit cubaan untuk menutup mulut saya. Ada sesuatu saya sedang teliti dan ini (serangan) adalah mesej untuk saya.

“Memang ada satu kumpulan ‘whistleblower’ datang pada saya Rabu minggu lepas mengenai satu skandal berkaitan wang.

“Maksudnya saya ingat pihak terbabit tahu kalau saya sudah mula lihat satu skandal, saya akan ‘go deep’ (siasat lebih mendalam)… pada saya, mereka nak saya ‘move on’ dan tidak meneruskannya,” katanya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment