Takkan nak jadi ahli Parlimen selamanya

KOTA BHARU 1 Nov. – Penyandang kerusi Parlimen Ketereh, Annuar Musa tidak akan meminta, merayu mahupun melobi sekiranya nama beliau tidak dicalonkan di Parlimen berkenaan untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Annuar berkata, beliau berpegang dengan prinsip sejak dahulu iaitu seseorang calon tidak boleh meminta-minta.

“Kalau parti pilih saya untuk galas tanggungjawab, saya akan terima. Namun saya minta tidak usahlah kita membuat spekulasi kerana proses masih berjalan. Kita serah kepada parti menentukannya dan siapa yang akan menerima watikah malam ini,” katanya pada sidang media, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, Annuar dijangka tidak dicalonkan di Parlimen Ketereh untuk PRU15 dipercayai ada kaitan dengan kelantangannya yang mengkritik kepemimpinan parti.

Mengulas lanjut, Annuar yang juga Ketua UMNO Bahagian Ketereh berkata terdapat seribu kemungkinan dalam politik, namun beliau tidak mahu mendahului parti.

“Kalau orang tak bagi itu adalah proses semua orang yang kena lalui, takkan kita nak jadi Ahli Parlimen selama-lamanya,” katanya.

Ditanya kenyataan penyandang kerusi Parlimen Arau, Dr Shahidan Kassim yang turut dikatakan tidak dicalonkan serta menutup bilik gerakan BN, Annuar meminta tidak membuat tindakan terburu-buru.

“Sebelum parti buat keputusan malam ini, saya nasihat supaya tenang. Jika mahu jadi calon juga, berundinglah. Malam tadi saya ada berhubung dengan Shahidan, namun setakat ini saya menganggap apa yang tersebar itu adalah khabar angin,”

Annuar juga mengakui banyak berbeza pendapat membabitkan beberapa isu dengan pucuk pimpinan parti dengan tiada niat lain melainkan demi masa depan UMNO.

“Saya memang begitu. Kita tidak boleh menjadi burung kakak tua sehinggakan orang tidak tahu pemikiran kita yang sebenar.

“Saya memang pro Muafakat Nasional (MN) yang kuat kerana saya yang tukang baca deklarasi MN dan saya tahu segala-galanya, namun buat masa ini saya `kunci mulut’ dahulu, “ katanya.

Beliau berkata sejak UMNO jatuh, proses pemulihan melalui pelbagai cara dan pendapat.

“Nasihat saya kalau mahu UMNO kuat, perlu menyatupadukan orang Melayu dan parti Melayu supaya selepas PRU15, kita tidak akan menumpang atau meminta-minta. Ini juga berlaku perbezaan pendapat.

“Begitu juga perbezaan tiga pendapat yang besar antara saya dengan pucuk pimpinan termasuk (apabila) pucuk pimpinan menandatangani surat menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim tanpa pengetahuan saya dan isu tarik sokongan terhadap kerajaan dipimpin Tan Sri Muhyiddin,” katanya.

Bagaimanapun Annuar berkata, perbezaan pendapat itu hanya berlaku sebelum parti membuat keputusan.

“Sekiranya parti sudah buat keputusan terhadap sesuatu isu termasuk ‘no Pas dan No Bersatu ‘, saya tetap terima keputusan itu.

“UMNO juga kena ingat, tanpa Pas dan Bersatu juga kita tidak akan menjadi sebuah kerajaan. Pada masa sama, ia juga menyumbang UMNO menjadi hebat sehinggakan menang di Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor serta Melaka.

“Saya disindir dan dikritik selain dikatakan pro Bersatu, namun saya diam sahaja. Diam itu bukan Annuar Musa dan diam itu mungkin bukan diam selama-lamanya,” katanya.

Related posts

Leave a Comment