4,194 penjawat awam bankrap sejak 2020

KUALA LUMPUR 13 Ogos – Dewan Rakyat hari ini diberitahu, Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) merekodkan 4,194 penjawat awam bersamaan 0.3 peratus daripada 1.6 juta kakitangan awam di seluruh negara diisytihar bankrap sejak 2020 hingga Jun 2025.

Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying, pada sesi soal jawab memberitahu, sebahagian besar punca masalah kewangan adalah komitmen hutang tinggi dan kos sara hidup yang meningkat.

Katanya,  kerajaan akan terus memantau supaya penjawat awam boleh mengurus kewangan mereka dengan berhemah.

“Bagi penjawat awam, kita memang selalu akan berinteraksi dan berunding melalui AKPK jika mereka menghadapi masalah kewangan.

Tetapi pada masa sama, bagi bank kita memang ada ‘debt service ratio’ itu. Kita memang memantau iaitu sekarang median adalah 34 peratus tetapi bagi kita, kita setakat ini kita adalah di 41 peratus,” katanya.

Beliau berkata, jika kos sara hidup sudah meningkat, penjawat awam sememangnya menghadapi masalah

“Jadi, melalui Skim Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA), kita juga menaikkan gaji untuk penjawat awam selain kerajaan memperuntukkan RM100 untuk program payung Rahmah iaitu dengan secara langsung akan membantu penjawat awam menangani isu kenaikan kos sara hidup,” katanya pada sesi soal jawab lisan.

Beliau menjawab soalan daripada Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) mengenai langkah kerajaan terhadap trend peningkatan hutang isi rumah yang membimbangkan khususnya dalam kalangan penjawat awam dan sejauh mana relevannya institusi kewangan memberikan kelulusan pinjaman sehingga RM400,000 kepada individu yang berpendapatan sederhana serta langkah kawalan bagi memastikan kestabilan kewangan isi rumah.

Menurut Hui Ying, paras hutang isi rumah negara masih terkawal dengan jumlah keseluruhan mencecah RM1.65 trilion atau 84.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) setakat Mac 2025.

“Ini menunjukkan perubahan tidak ketara berbanding dengan akhir tahun 2024. Kedudukan hutang isi rumah juga perlu dilihat secara holistik, khususnya dengan mengambil kira aset kewangan isi rumah yang jauh lebih besar berjumlah RM3.45 trilion pada tempoh sama,” katanya.

Beliau berkata, secara agregat, aset kewangan isi rumah kekal melebihi hutang sebanyak 2.1 kali, sekali gus menyediakan penampan kewangan kukuh kepada isi rumah. Kerajaan telah melaksanakan pelbagai langkah kawalan untuk mengawal hutang isi rumah dan mengukuhkan daya tahan isi rumah.

Menurut beliau, sebanyak 1.1 peratus daripada hutang isi rumah merangkumi pinjaman perumahan.

Menjawab soalan tambahan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) mengenai langkah kerajaan menangani kenaikan harga rumah terutama di Johor bagi memastikan penjawat awam memiliki kediaman, Hui Ying berkata, kerajaan akan mengkaji lanjut isu itu, namun beberapa program sudah dilaksanakan.

“Kita faham tentang kenaikan harga rumah terutama untuk penjawat awam. Jadi kita memang ada beberapa program antaranya program pemilikan rumah mampu milik yang dilaksanakan termasuk Residensi Madani, PR1MA yang menyasarkan golongan berpendapatan sederhana dan rendah.

“Mungkin di Johor Bahru adalah kes yang lebih unik sebab ia dekat dengan kos sara hidup amat tinggi. Jadi kita kerajaan memang prihatin tentang ini dan kita akan mengkaji dengan lebih lanjut lagi,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment