WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, menandatangani satu perintah eksekutif baharu yang mengenakan tarif 50 peratus ke atas eksport Brazil, sambil memberikan pengecualian terhadap produk-produk tertentu.
Perintah itu memberikan pengecualian bagi pesawat awam dan komponennya yang dijangka memberi manfaat kepada syarikat aeroangkasa Brazil, Embraer serta barangan seperti pulpa kayu, logam berharga, produk tenaga, baja dan jus oren.
Keputusan itu dibuat bagi menangani “dasar, amalan dan tindakan terkini oleh Kerajaan Brazil yang membentuk ancaman luar biasa dan luar kebiasaan terhadap keselamatan negara, dasar luar dan ekonomi AS.
Langkah ini diambil di tengah-tengah perbicaraan bekas presiden Brazil, Jair Bolsonaro, sekutu rapat Trump, yang kini berdepan pertuduhan cuba merancang satu rampasan kuasa.
Perintah Rumah Putih itu menggambarkan prosiding undang-undang terhadap Bolsonaro sebagai satu bentuk penganiayaan politik, dengan mendakwa bahawa beliau telah “didakwa secara tidak adil” atas beberapa kesalahan.
Tarif berkenaan dijadualkan berkuat kuasa pada 6 Ogos, selepas tempoh pelaksanaan selama tujuh hari.
Trump sebelum ini mengancam untuk mengenakan tarif 50 peratus sekiranya Presiden Luiz Inacio Lula da Silva tidak menghentikan perbicaraan terhadap Bolsonaro.
Sementara itu, Trump memaklumkan AS akan mengenakan tarif 15 peratus ke atas import dari Korea Selatan sebagai sebahagian daripada perjanjian yang bagi meredakan ketegangan dengan salah satu rakan dagang 10 teratas dan sekutu utama Asia.
Perjanjian itu diumumkan sejurus selepas Trump bertemu dengan pegawai Korea di Rumah Putih, menjelang tarikh akhir yang ditetapkan esok (1 Ogos) di mana beliau berjanji tarif yang lebih tinggi akan berkuat kuasa ke atas import dari pelbagai negara.
Import dari Korea Selatan, yang merupakan pengeluar utama cip komputer, kereta dan keluli, sebelum ini berdepan kadar tarif sebanyak 25 peratus.
“Saya berbesar hati untuk mengumumkan bahawa Amerika Syarikat telah bersetuju dengan Perjanjian Perdagangan Penuh dan Lengkap dengan Republik Korea,” menurut Trump di Truth Social, hari ini.
Trump berkata, Korea Selatan telah bersetuju untuk melabur AS$350 bilion di Amerika Syarikat dalam projek-projek yang dipilih oleh beliau serta membeli produk gas asli cecair (LNG) dan tenaga lain bernilai AS$100 bilion.
Selepas pengumuman Trump, Presiden Korea Selatan, Lee Jae Myung berkata perjanjian tarif dengan AS akan meletakkan Korea Selatan dalam kedudukan setara atau lebih baik berbanding negara lain.
Jae Myung juga berkata kedua-dua negara bersetuju menubuhkan dana pelaburan sebanyak AS$350 bilion, di mana AS$150 bilion daripadanya diperuntukkan untuk kerjasama dalam industri pembinaan kapal.
Nnnn
