Pemerdagangan manusia membimbangkan

GENEVA – Trend jenayah pemerdagangan manusia semakin membimbangkan, dengan ratusan ribu orang terperangkap dalam pusat penipuan dalam talian di Asia Tenggara, demikian pendedahan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Menurut Ketua Pertubuhan Antarabangsa bagi Migrasi (IOM) PBB, Amy Hope, mangsa sering kali tidak menerima bantuan sebaliknya mereka ditangkap biarpun dipaksa terjebak dengan sesuatu kegiatan jenayah.

Katanya, pemerdagangan lebih daripada krisis hak asasi manusia, apabila ia adalah perniagaan global besar-besaran yang memupuk rasuah, menimbulkan ketakutan, dan mengeksploitasi golongan paling terdedah.

Pasa masa ini, di seluruh Asia Tenggara, ratusan ribu orang terperangkap dalam kawasan pusat penipuan dalam talian

Operasi ini dianggarkan menjana pendapatan sebanyak AS$40 bilion (RM170 bilion) setahun, dan ramai daripada mereka yang terperangkap adalah pendatang, pencari kerja muda, kanak-kanak dan individu kurang upaya.

Menurut Hope, IOM yang berpangkalan di Geneva berjaya membantu hampir 3,000 mangsa supaya mereka dapat membina semula kehidupan sejak 2022.

Agensi itu membantu membawa pulang individu dari Filipina dan Vietnam, serta menyokong mangsa di Thailand, Myanmar dan negara-negara lain.

Beliau memberi amaran bahawa ramai lagi masih terperangkap dan lebih memburukkan keadaan apabila mereka bukan sahaja tidak mendapat bantuan, malah sering ditangkap, didakwa dan dihukum.

Tegasnya, tiada siapa pun patut dipenjarakan atas sesuatu yang mereka dipaksa lakukan.

Sehubungan itu, beliau menyarankan kerajaan dan masyarakat sivil untuk mengambil tindakan tegas serta mengubah undang-undang kebangsaan agar mangsa pemerdagangan dilindungi, bukannya dihukum.

Related posts

Leave a Comment