SEPANG 2 Julai – Bengkel Biro Ekonomi Putra mengenai kritikan terhadap tarif elektrik baharu dalam rumusannya mendakwa pelaksanaan struktur tarif eletrik baharu yang diumumkan Suruhanjaya Tenaga (ST), baru-baru ini membebankan rakyat.
Presiden Putra, Dr Ibrahim Ali berkata, melalui beberapa perbincangan bengkel, rumusannya indah khabar dari rupa, di mana kos hidup rakyat terus meningkat manakala pemimpin terus dengan retorik kosong.
“Awan mendung sudah tiba di langit Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan beehubung rumusan bengkel itu.
Terdahulu ST menjelaskan majoriti pengguna domestik atau isi rumah tidak akan terkesan dengan pelaksanaan tarif baharu ini kerana kadar mereka kekal secara relatif stabil.
Malah, pengguna yang mengamalkan penggunaan tenaga cekap akan menikmati manfaat penjimatan yang lebih tinggi melalui Insentif Cekap Tenaga yang diperkenalkan.
Berikut rumusan yang dihasilkan Putra
1. “Adil dan progresif” hanya sekadar slogan.
Realitinya, golongan sederhana terperangkap di tengah – tidak layak untuk bantuan, tetapi juga tidak mampu menyerap beban kos. Ini bukan keadilan, tetapi diskriminasi sistemik yang disahkan dasar.
2. Peniaga kecil ditekan tanpa belas.
Tarif yang melambung menambahkan luka lama pasca pandemik. Kerajaan seolah-olah menghukum sektor akar umbi yang menjadi tulang belakang ekonomi rakyat.
3. Bil berubah-ubah seperti perjudian.
AFA menjadikan bil bulanan tidak menentu. Rakyat yang mahukan kestabilan kini dipaksa hidup dengan ketidaktentuan seperti peniaga saham yang berjudi dengan nasib.
4. Golongan miskin terus dinafikan.
Sistem bantuan hanya untuk yang tersenarai dalam e-Kasih adalah satu bentuk pengabaian terang-terangan terhadap golongan memerlukan yang terlepas radar kerajaan.
5. Penurunan kadar asas hanya umpan kosong.
Apa yang diberi di satu tangan, diambil semula dengan caj tersembunyi dan kadar blok seterusnya yang lebih tinggi. Ini manipulasi yang memperdaya rakyat.
6. Bil elektrik makin kabur dan mengelirukan.
Struktur tarif terlalu kompleks. Ia seperti direka untuk menyembunyikan beban sebenar di sebalik istilah teknikal yang tidak mesra pengguna.
7. Insentif seperti jerat halus.
Sikit sahaja penggunaan melepasi ambang, terus dihukum dengan kadar tinggi. Ini bukan galakan, ini taktik memerangkap pengguna biasa dalam sistem yang menindas.
8. TOU hanya sesuai untuk ‘rakyat sempurna’.
Tidak semua orang boleh ubah rutin hidup ikut jam. TOU hanya menguntungkan segelintir, dan langsung tidak mesra kepada majoriti pengguna yang bergantung pada waktu tetap.
9. Industri dicekik, rakyat terasa tempias.
Kos tinggi menekan pengilang, mengurangkan pekerjaan, dan menaikkan harga barang. Tarif ini bukan sekadar isu tenaga, tetapi krisis ekonomi berganda yang menjalar.
10. Pelabur lari, daya saing tergugat.
Dengan tarif yang tinggi, Malaysia menjadi destinasi pelaburan yang tidak kompetitif. Slogan mesra pelabur tidak bermakna jika realiti kos menakutkan mereka.
11. Kos hidup rakyat melonjak lagi.
Sektor kesihatan dan pendidikan swasta akan naikkan caj akibat tarif. Sistem awam tak mampu tampung. Akhirnya, rakyat terus menanggung akibat dasar yang berat sebelah ini dan jauh dari adil.
Nnnn
