KUALA LUMPUR 10 Dis. – Anwar Ibrahim mengesahkan mengemukakan isu titah adendum Najib Tun Razak untuk dipertimbangkan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim selaku Pengerusi Lembaga Pengampunan.
Perdana Menteri menjelaskan, Lembaga Pengampunan akan mengambil kira beberapa perkara termasuk perjalanan kes, hukuman, sikap di penjara, khidmat dan jasa serta kepercayaan boleh menyempurnakan tanggungjawab dengan baik sebelum membuat keputusan pada masa yang difikirkan sesuai.
“Cuma, memandangkan perkara ini terus berbangkit, saya ada kemukakan untuk pertimbangan Yang di-Pertuan Agong sekarang (Sultan Ibrahim), pada masa yang difikirkan sesuai oleh Agong, merujuk perkara itu kepada Lembaga Pengampunan yang akan dipengerusikan oleh Tuanku.
“Sebagai seorang yang memenuhi tanggungjawab, saya lakukan kerana bagi saya siapapun berhak untuk diberi pertimbangan sama ada menilai cara dan kaedah hukuman dijatuhkan atau pertimbangan ‘fountain of mercy’,” katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat pada Selasa.
Beliau menjawab pertanyaan Sheikh Mohmed Puzi Sheikh Ali (BN-Pekan) sama ada Anwar bercadang untuk menghadap Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang didakwa mengeluarkan titah tersebut untuk menyelesaikan perkara berkenaan.
Pada 3 Julai lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Najib, 71, untuk memulakan prosiding semakan kehakiman ke atas lapan responden bagi mencabar kewujudan titah adendum itu, selepas berpendapat empat afidavit bagi menyokong permohonan Najib, termasuk oleh Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presidennya Wan Rosdy Wan Ismail adalah bersifat dengar cakap atau khabar angin.
Najib kemudiannya menfailkan notis rayuan pada 9 Julai.
Beliau menamakan Menteri Dalam Negeri, Ketua Pesuruhjaya Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan serta Putrajaya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang di JPM serta Kerajaan Malaysia sebagai responden dalam permohonannya.
Sementara itu, Anwar menegaskan sebarang ulasan mengenai Titah Adendum itu belum boleh dikemukakan ketika ini, bagi mengelak subjudis memandangkan bekas Ahli Parlimen Pekan itu sudah memfailkan kes membabitkan perkara berkenaan di Mahkamah Rayuan.
Sehubungan itu, Anwar menasihatkan orang ramai menghormati proses pendengaran kes rayuan berkenaan yang dijadualkan berlangsung 6 Januari depan.
“Dari segi kerajaan, (setiap perkara) yang dibincangkan mestilah ikut lunas hukum (undang-undang). Negara akan berkecamuk kalau tak ikut hukum.
Hukum menyatakan perkara ini (Titah Adendum) tidak boleh dibahaskan secara terbuka, seterusnya kalau dibawa ke mahkamah dan (perbincangan) dibawa ke sini (Dewan Rakyat) sudah jadi subjudis,” katanya menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) mengenai kelewatan kerajaan melaksanakan titah itu.
Sementara itu, Anwar menafikan kerajaan tidak melakukan sebarang tindakan berhubung kekecohan yang timbul akibat isu Titah Adendum, sebaliknya menegaskan ia perlu dirujuk kepada Yang di-Pertuan Agong terlebih dahulu.
“Ketika itu Yang di-Pertuan Agong sudah bertukar. Apa-apa tindakan dibuat selepas (pertukaran) perlu dirujuk kepada Yang di-Pertuan Agong dan baginda ada menekankan supaya apa-apa keputusan perlu dirujuk kepada baginda,” katanya.
