KUALA LUMPUR 10 Januari – Pemimpin Melayu perlu membina politik kepercayaan melalui kejujuran dan kemampuan, sekali gus dibuktikan melalui tindakan dalam rangka mencari lebih banyak titik persamaan bagi mengatasi perpecahan yang berlaku.
Ketua Puteri UMNO, Nurul Amal Mohd Fauzi, berkata tidak perlu menjanjikan terlalu banyak perkara, sebaliknya berterus terang mengenai perkara boleh dilaksanakan, memerlukan masa atau belum mampu dilakukan.
“Beritahulah yang benar. Kepercayaan tidak boleh diminta, ia mesti dibina. Kepercayaan yang mahu bertahan mesti dibina di atas kebenaran.
Tanpa kebenaran, ia hanyalah istana pasir yang menunggu dibilas ombak. Kita boleh menang pilihan raya hari ini, tetapi kita juga boleh kehilangan kepercayaan rakyat hari esok,” katanya ketika menyampaikan Ucapan Dasar Ketua Pergerakan Puteri UMNO di Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di sini, hari ini.
Turut hadir, Presiden UMNO, Dr Ahmad Zahid Hamidi; Naib Presiden UMNO, Johari Abdul Ghani dan Setiausaha Agung UMNO, Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Nurul Amal berkata, politik kepercayaan ialah politik membuatkan rakyat kembali yakin bahawa perjuangan bukan sekadar mengenai kuasa, tetapi siapa yang benar-benar mampu menjaga kepentingan mereka.
“Jangan hanya hadir, apabila kita memerlukan rakyat. Hadirlah ketika rakyat memerlukan kita. Ia bermula dengan mendengar. Jangan hanya mendengar orang yang memuji kita,” katanya.
Sementara itu, Nurul Amal berkata, generasi muda tidak lagi mahu politik terus dihidupkan dengan dendam lama, sekali gus enggan mewarisi permusuhan yang bukan dimulakan mereka sendiri.
Beliau mengingatkan anggota Puteri UMNO bahawa generasi hari ini menilai politik dengan pendekatan berbeza dan parti perlu memahami perubahan berkenaan.
Katanya, sokongan generasi baharu tidak boleh dianggap akan terus diwarisi hanya kerana ibu bapa mereka pernah menyokong UMNO, manakala sejarah parti semata-mata juga tidak mencukupi untuk membina keyakinan mereka.
“Kita tidak lagi boleh menganggap seseorang yang menyokong kita hanya kerana ibu bapanya menyokong kita. Kita tidak boleh menganggap sejarah sahaja sudah cukup untuk membuatkan generasi baharu percaya kepada kita.
“Kita harus memahami satu lagi perkara. Orang muda tidak mahu politik yang terus hidup dalam dendam lama,” katanya.
Nurul Amal berkata, mereka tidak mahu mewarisi permusuhan yang mereka sendiri tidak mulakan.
“Mereka tidak mahu seluruh masa depan politik ditentukan oleh siapa yang perlu dibenci. Mereka mahu tahu siapa yang boleh bekerja, menyelesaikan masalah, yang mereka boleh percaya dan membawa mereka ke hadapan,” katanya.
Nnnn
