Najib dan media tetangga

HUKUMAN terhadap mantan Perdana Menteri, Najib Razak mendapat liputan media negara jiran termasuk Singapura, Thailand, Indonesia dan Filipina. Kebanyakannya di muka hadapan termasuk sebagai berita utama.

The Jakarta Post memaparkan gambar dan berita di muka satu dengan tajuk Najib Razak gets 12 years in first 1MDB trial, manakala muka 1 Berita Harian Singapura memaparkan tajuk Najib bersalah, dipenjara 12 tahun, didenda $68j

Myanmar Times memaparkan gambar Najib di muka depan dengan berita bergambar Long arm of the law sementara Bangkok Post melaporkan berita di bahagian bawah muka satu Najib guilty of corruption.

Philippine Daily Inquirer pula melaporkan dalam bentuk ‘blurb’ berita dunia dengan tajuk Ex-Malaysian PM guilty of corruption manakala The Manila Times juga di muka depan dalam bentuk berita bergambar Looter Man ..Ex-premier Najib guilty of looting state fund.

Jawa Post pula menyiarkan kronologi kes dengan gambar Najib di bahagian bawah muka depan dengan tajuk Putusan yang bak Pedang Bermata Dua.

Akhbar itu melaporkan suasana yang berlaku di dalam dan di luar mahkamah di Jalan Duta, Kuala Lumpur semalam serta komen oleh pihak berkaitan berhubung keputusan mahkamah.

Menurut Bridget Welsh, pakar politik Malaysia dari University of Nottingham, keputusan itu ibarat pedang bermata dua bagi pentadbiran negara. Baginya di satu sisi, Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin bakal memperoleh kepercayaan dari masyarakat.

“Ini menunjukkan bahwa dia lebih mementingkan negara daripada politik,’’ katanya.

Di sisi lain, keputusan itu boleh menjejaskan kerajaan Perikatan Nasional sekarang kerana masih ada dalam kalangan pimpinan UMNO yang masih setia kepada bekas Perdana Menteri itu.

Beliau menyebut nama seperti Ahmad Maslan dan Ketua Pemuda UMNO, Dr. Asyraf Wajdi Dusuki yang turut hadir memberi sokongan semalam. Dalam hal ini, kedudukan kerajaan pimpinan Muhyiddin akan hilang kuasa jika UMNO menarik diri.

Laporan itu juga menyebut hukuman yang dikenakan ke atas Najib bukan satu pengakhiran kepada bekas Perdana Menteri itu kerana beliau berpeluang mengemukakan rayuan .

Related posts

Leave a Comment