DUBAI: Kumpulan pejuang Palestin Hamas menyatakan kesediaan berunding dengan Israel berhubung perang yang berlarutan sejak Oktober tahun lalu tetapi pada
masa sama menegaskan untuk sedia meneruskan pertempuran.
Ketua Hamas, Ismail Haniyeh dalam ucapan yang disiarkan di televisyen turut menggesa rakyat Palestin di Baitulmaqdis dan Tebing Barat berarak ke Masjid Al-Aqsa untuk bersolat pada hari pertama Ramadan pada 10 Mac ini.
Beliau juga berikrar meningkatkan kepentingan dalam rundingan tidak langsung untuk perjanjian gencatan senjata berkuat kuasa pada masa itu.
Isnin lalu, Israel menyatakan sedia membenarkan solat tarawih di Masjid Al-Aqsa Baitulmaqdis sepanjang Ramadan akan datang tetapi menetapkan had mengikut keperluan keselamatan, sekali gus menggambarkan kemungkinan berlaku pertempuran jika ramai penduduk Palestin hadir.
Isnin lalu juga, Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, berharap gencatan senjata di Gaza akan dipersetujui pada 4 Mac ini susulan rundingan di Qatar bagi membebaskan tebusan.
Haniyeh turut menggesa Axis of Resistance atau Paksi Penentangan yang juga sekutu Iran serta negara Arab meningkatkan sokongan kepada Palestin di Gaza.
Negara-negara Arab dan Islam wajib mengambil inisiatif mengakhiri konspirasi kebuluran di Gaza,” katanya .
