112 mayat di bawah timbunan runtuhan

GAZA – Sebanyak 112 lagi mayat ditemukan di bawah timbunan runtuhan dalam operasi mencari mangsa yang dijalankan selepas lebih dua tahun serangan Israel di wilayah itu.

Menurut Agensi Pertahanan Awam Gaza, mayat dan cebisan anggota badan itu ditemukan selepas 136 jam kerja mencari di kawasan Sabra, selatan Bandar Gaza.

Mangsa yang ditemukan membabitkan 40 kanak-kanak, 38 wanita dan tujuh orang kurang upaya (OKU).

Pegawai Pertahanan Awam Gaza yang mengetuai operasi berkenaan, Kolonel Mohammed Abu Dan, berkata pihaknya percaya masih terdapat 157 lagi mayat yang tertimbus di lokasi sama.

Beliau berkata, operasi mencari amat sukar kerana pasukan penyelamat terpaksa menyelongkar runtuhan konkrit dan besi yang remuk menggunakan tangan.

Dalam pada itu, ribuan lagi mangsa dipercayai masih tertimbus di bawah runtuhan akibat serangan udara Israel di seluruh Gaza.

Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) memaklumkan pihaknya membantu operasi berkenaan yang berlangsung hampir dua minggu.

Jurucakap ICRC di Gaza, Amani Al-Naouq, berkata ribuan keluarga masih menunggu peluang untuk menemukan jenazah ahli keluarga mereka bagi membolehkan pengebumian dilakukan dengan sempurna.

Related posts

Leave a Comment