Mamdani akui tiada kuasa tangkap Netanyahu

NEW YORK – Datuk Bandar, Zohran Mamdani, mengakui beliau tidak mempunyai “kuasa” untuk menangkap Benjamin Netanyahu sekiranya Perdana Menteri Israel melawat bandar itu, sempena Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Beliau sebelum ini berikrar akan menangkap Benjamin Netanyahu berasaskan  waran tangkap yang dikeluarkan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) ke atas Netanyahu berhubung dakwaan jenayah perang.

Dalam satu video yang dimuat naik di media sosial, Mamdani sebaliknya menggesa Kerajaan Persekutuan Amerika Syarikat (AS) mengambil tindakan terhadap waran tangkap ke atas Netanyahu atas dakwaan jenayah perang.

Secara teknikal, Netanyahu boleh ditahan dan diserahkan kepada ICC jika beliau berada di negara anggota mahkamah berkenaan tetapi AS bukan anggota ICC.

Presiden AS, Donald Trump, sebelum ini menegaskan, Netanyahu tidak akan “ditangkap dalam apa jua bentuk dan keadaan” ketika berada di negara itu.

Menerusi hantaran di platform Truth Social pada Isnin, Trump berkata, Netanyahu sedang berdepan ancaman daripada Republik Islam Iran yang didakwanya telah membunuh puluhan ribu penunjuk perasaan tidak bersalah serta bertanggungjawab terhadap kematian anggota tentera Amerika selama beberapa dekad.

Mamdani dalam temu bual bersama The New York Times pada Sabtu lalu, mendedahkan, beliau sedang mengadakan “perbincangan aktif” dengan pihak penguat kuasa undang-undang mengenai kemungkinan melaksanakan waran tangkap ICC terhadap Netanyahu.

Bagaimanapun pada Selasa, Mamdani berkata, pasukannya telah meneliti “setiap saluran yang tersedia” di bawah undang-undang dan membuat kesimpulan bahawa pihak berkuasa bandar raya tidak mempunyai kuasa perundangan bebas untuk menguatkuasakan waran tersebut.

“Kerajaan Persekutuan mempunyai kuasa itu. Saya menggesa mereka menyertai ICC dan melaksanakan waran berkenaan,” katanya.

Dalam video sama, Mamdani menegaskan Netanyahu “tidak dialu-alukan” di New York City, yang dijangka menjadi lokasi kunjungan pemimpin Israel itu pada September sempena Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

ICC mengeluarkan waran tangkap terhadap Netanyahu pada 2024 atas dakwaan jenayah perang di Gaza, selain turut mengeluarkan waran serupa terhadap seorang komander Hamas.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment