GAZA – Sekurang-kurangnya lapan penduduk Palestin terbunuh, manakala 20 lagi cedera ketika dalam serangan udara Israel di Nuseirat, tengah Semenanjung Gaza.
Serangan berlaku sewaktu mangsa menghadiri pengebumian seorang penduduk yang terbunuh dalam serangan udara terdahulu Israel di kawasan sama pada awal hari berkenaan.
Hamas menyifatkan serangan di Nuseirat sebagai pembunuhan beramai-ramai kejam terhadap orang awam yang sedang berkabung.
Kumpulan pejuang itu lantas menggesa pihak pengantara serta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bertindak menghentikan serangan Israel di Gaza.
Mengenai serangan itu, tentera Israel akui pihaknya menyasarkan sebuah kumpulan pejuang jihad Islam yang mempunyai pengaruh di beberapa kawasan di Gaza selain Hamas.
Menurut tentera rejim Zionis, mereka kononnya menyedari dakwaan bahawa beberapa individu yang tidak terbabit turut menjadi mangsa akibat serangan itu.
Penduduk di kawasan timur Deir al-Balah, tengah Gaza berkata, tentera Israel menggunakan dron untuk menghebahkan arahan menggesa mereka meninggalkan kediaman masing-masing, mengakibatkan beberapa keluarga melarikan diri demi keselamatan.
Sementara itu, kumpulan pemantau konflik berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), Armed Conflict Location & Event Data (ACLED) melaporkan, serangan udara Israel terhadap Hamas dan kumpulan pejuang lain meningkat lebih 40 kali pada Jun lalu, jumlah bulanan tertinggi sejak gencatan senjata bermula.
Menurut ACLED, beberapa serangan lain turut berlaku berhampiran garisan pemisah antara kedua-dua pihak, mengorbankan serta mencederakan orang awam termasuk wanita dan kanak-kanak.
Nnn
