90 hari cari asal usul Covid-19

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, mengarahkan agensi perisikannya menyiapkan laporan mengenai asal-usul Covid-19 dalam tempoh tiga bulan.

Beliau ingin mengetahui sama ada koronavirus itu, yang pertama kali dikesan di China, berpunca daripada sumber haiwan atau akibat kemalangan di makmal.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan White House, agensi perisikan harus melipatgandakan usaha mereka untuk mengumpulkan dan menganalisis maklumat yang boleh membuat kesimpulan yang pasti.

“Mereka diarah melaporkan kembali kepada saya dalam tempoh 90 hari,” katanya.

Menurut Biden, kini terdapat dua kemungkinan berhubung sumber virus yang sudah menjangkiti hampir 170 juta penduduk dunia dan mengorbankan lebih 3.5 juta orang.

Arahan Biden itu menandakan peningkatan kontroversi mengenai bagaimana virus itu pertama kali muncul, sama ada melalui kontak haiwan di pasar di Wuhan, China, atau melalui makmal penyelidikan dengan ciri keselamatan yang sangat ketat.

Mac lalu, Biden meminta laporan berhubung asal usul virus, termasuk sama ada ia berpindah kepada kontak manusia daripada binatang yang dijangkiti atau akibat kemalangan di makmal, khususnya Institut Virologi Wuhan (WIV).

“Setakat ini, perisikan AS menyatakan dua senario yang mungkin berlaku tetapi belum mencapai kesimpulan yang pasti mengenai persoalan ini,” katanya.

Related posts

Leave a Comment