Pertemuan UMNO- Pas langkah positif

PUTRAJAYA 9 Jun – Pertemuan antara pimpinan UMNO dan Pas baru-baru ini sebagai satu langkah positif yang perlu disusuli dengan beberapa tindakan susulan, kata Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Presiden UMNO itu berkata, pertemuan atas inisiatif kepemimpinan kedua-dua parti itu adalah bagi merungkai pelbagai permasalahan serta membincangkan agenda yang bukan semata-mata berkaitan politik.

“Kita merestui perjumpaan hasil inisiatif kepemimpinan UMNO dan Pas untuk merungkai beberapa permasalahan dan agenda yang bukan agenda politik. Jika ia ada terkait pun dengan politik ia tentunya akan lebih diperhalusi kerana kita tetap berada dalam Kerajaan Perpaduan yang terbentuk sekarang ini.

“Itu asas kita dan asas itu mesti dihormati tetapi pintu harus juga dibuka untuk kita mengadakan perundingan dan juga mencari beberapa pendekatan baharu jika dinamika politik ini akan berlangsung satu ketika nanti,” katanya selepas menyempurnakan Sambutan Hari Pendidik Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai perkembangan hasil pertemuan pimpinan kedua-dua parti berkenaan baru-baru ini.

Presiden Pas, Abdul Hadi Awang sebelum ini mengesahkan beliau ada dimaklumkan mengenai perjumpaan antara pimpinan partinya dengan UMNO di ibu negara dan merujuk perjumpaan itu sebagai ‘pertemuan biasa’, tetapi beliau tidak menghadirinya.

Ahmad Zahid pula dilaporkan berkata, pertemuan itu hanya membincangkan soal kolaborasi yang boleh dilakukan bagi memastikan kestabilan politik negara terus terpelihara.

Timbalan Perdana Menteri itu yakin tiada sebarang masalah atau perbezaan pendapat yang tidak boleh diselesaikan sekiranya semua pihak bersedia untuk berbincang.

“Saya yakin tidak ada suatu pun masalah yang tidak boleh dirungkaikan, tidak ada suatu pun perbezaan pendapat selama ini yang tidak boleh dilakukan penyatuan semula,” katanya.

Sehubungan itu, beliau melihat pertemuan yang berlangsung antara pimpinan UMNO dan Pas sebagai perkembangan yang membina dan wajar diteruskan.

“Saya melihat pertemuan ini satu langkah positif yang harus disusuli dengan beberapa langkah selanjutnya,” katanya.

Related posts

Leave a Comment