SAO PAULO – Dua individu yang baru tiba di Brazil dari negara-negara Afrika telah diletakkan dalam pengasingan termasuk di Institut Penyakit Berjangkit Emilio Ribas di Sao Paulo selepas menunjukkan simptom yang dikaitkan dengan Ebola.
Seorang lelaki berusia 37 tahun yang baru pulang dari Republik Demokratik Congo (DRC), lokasi utama penularan wabak, “menunjukkan simptom seperti demam, yang memenuhi definisi kes disyaki Ebola,”
Pada Ahad, pihak berkuasa memaklumkan, pesakit tersebut didiagnosis menghidap meningitis pada tahap serius dan ujian lanjut sedang dijalankan bagi mengesahkan sama ada jangkitan Ebola turut berlaku.
Manakala seorang lagi lelaki turut diletakkan dalam pengasingan di Rio de Janeiro selepas tiba dari Uganda pada 22 Mei dan menunjukkan “gejala virus seperti batuk, menggigil serta cirit-birit,”
Dewan Bandaraya Rio memaklumkan, lelaki itu disahkan positif malaria, namun kes berkenaan masih dalam siasatan lanjut.
Sejak wabak diisytiharkan pada 15 Mei, lebih 1,000 kes disyaki Ebola dilaporkan di DRC termasuk hampir 250 kematian, menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Afrika.
Beberapa kes jangkitan serta satu kematian turut disahkan di negara jiran, Uganda.
Bagaimanapun, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran bahawa skala sebenar penularan di DRC berkemungkinan lebih luas, memandangkan wabak itu dipercayai telah beredar sebelum dikesan.
