8 rebut Naib Presiden UMNO tanpa Ismail Sabri

KUALA LUMPUR 26 Feb. – Saingan bagi rebutan tiga jawatan Naib Presiden UMNO menyaksikan penampilan lapan orang calon yang terdiri daripada tiga menteri, dua Ahli Parlimen, seorang Menteri Besar dan dua bekas Ahli Parlimen.

Dua penyandang Naib Presiden Mohamed Khaled Nordin dan  Mahdzir Khalid akan mempertahankan jawatan itu sementara Ismail Sabri Yaakob tidak menawarkan diri bagi mengekalkan jawatan untuk penggal 2023-2026.

Mohamed Khaled adalah Menteri Pengajian Tinggi manakala Mahdzir adalah bekas Ahli Parlimen Padang Terap.

Bekas Perdana Menteri, Ismail Sabri sebelum ini membayangkan kesediaan berundur daripada arus perdana politik untuk berehat terutama apabila rancangan beliau untuk berbuat demikian selepas berakhir penggal PRU14, belum terlaksana.

Naib Presiden adalah jawatan tertinggi parti yang dipertandingkan selepas dua jawatan utama iaitu Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak dipertandingkan pada kali ini.

Dua lagi menteri yang menawarkan diri adalah Menteri Luar, Senator Dr Zambry Abdul Kadir dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi),  Azalina Othman Said.

Turut serta dua Ahli Parlimen yang juga Ahli MKT iaitu Ahli Parlimen Titiwangsa,  Johari Abdul Ghani dan Ahli Parlimen Simpang Renggam, Hasni Mohamad yang juga bekas Menteri Besar Johor.

Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail menjadi satu-satunya Menteri Besar yang menawarkan diri untuk jawatan Naib Presiden UMNO.

Sementara itu, bekas Ahli Parlimen Kepala Batas  Reezal Merican Naina Merican, yang juga bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan turut mencuba nasib untuk jawatan No.3 dalam parti itu.

Berdasarkan pencalonan bagi Naib Presiden itu, tiga calon dari Johor, iaitu Mohamed Khaled, Azalina dan Hasni; seorang dari Kedah iaitu Mahdzir ; Pahang (Wan Rosdy);Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ( Johari); Pulau Pinang  (Reezal Merican) dan Perak (Dr Zambry)..

Pendaftaran pencalonan Pemilihan UMNO 2023 bagi peringkat pusat bermula sejak 13 Februari lalu dan berakhir pukul 5 petang ini di Auditorium UMNO, Menara Dato Onn.

Ia melibatkan jawatan Ahli MKT, Exco Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO dan difahamkan cabutan nombor calon akan diadakanpada 2 Mac di Menara Dato Onn.

Related posts

Leave a Comment