PKP seluruh negara 12 Mei – 7 Jun

PUTRAJAYA 10 Mei – Seluruh negara diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai 12 Mei sehingga 7 Jun depan, kata Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin selepas mempengerusikan Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara Mengenai Pengurusan Covid-19 hari ini.

Katanya, berdasarkan trend kes-kes harian Covid-19 yang semakin meningkat, Kerajaan memutuskan untuk mengambil langkah-langkah yang lebih tegas dan ketat bagi mengekang penularan wabak Covid-19 dalam masyarakat dan menghalang kenaikan kes secara mendadak.

“Dengan jumlah kes harian melebihi 4,000 kes dan 37,396 kes aktif dengan 1,700 kes kematian dilaporkan setakat 10 Mei 2021, Malaysia sedang berhadapan dengan gelombang ketiga Covid-19 yang boleh mencetuskan suatu krisis nasional,” kata Muhyiddin dalam satu kenyataan.

Menurut Muhyiddin , kewujudan varian-varian baharu dengan kadar jangkitan yang lebih tinggi, kekangan ke atas kapasiti sistem kesihatan awam yang semakin meruncing dan kelemahan pematuhan SOP dalam kalangan sebahagian anggota masyarakat menuntut kerajaan untuk mengambil tindakan yang lebih drastik bagi mengelakkan negara terjerumus ke dalam malapetaka kesihatan yang lebih parah.

“Data dan sains terus menunjukkan bahawa aktiviti-aktiviti perhimpunan yang menyukarkan penjarakan sosial dan keberadaan orang ramai dalam ruang yang sesak menjadi punca utama penularan Covid-19.

“Rantaian jangkitan Covid-19 hanya dapat diputuskan dengan menggalakkan orang ramai duduk di rumah menerusi kawalan pergerakan yang lebih ketat,” jelas beliau.

Bagaimanapun, ujar beliau sepanjang tempoh itu, semua sektor ekonomi dibenarkan untuk beroperasi.

Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan mengumumkan perincian garis panduan sepanjang PKP dalam masa terdekat.

Related posts

Leave a Comment