ISLAMABAD – Amerika Syarikat (AS) dan Iran masih berdepan beberapa perbezaan utama dalam rundingan bagi menamatkan konflik ketenteraan selama enam minggu di sini.
Dalam hantaran di platform X, kerajaan Iran memaklumkan selepas 14 jam, rundingan telah berakhir dan pakar teknikal dari kedua-dua pihak akan bertukar dokumen.
“Rundingan akan diteruskan walaupun masih terdapat beberapa perbezaan,” menurut hantaran itu, tanpa menyatakan bila ia akan disambung semula.
Seorang wartawan televisyen negara Iran berkata rundingan akan diteruskan pada Ahad.
Perbincangan yang diadakan di Islamabad itu merupakan rundingan langsung pertama antara AS dan Iran dalam tempoh lebih sedekad serta perbincangan peringkat tertinggi sejak Revolusi Islam 1979.
Hasil rundingan berkenaan dijangka menentukan masa depan gencatan senjata dua minggu yang rapuh serta pembukaan semula Selat Hormuz, laluan penting yang mengendalikan kira-kira 20 peratus bekalan tenaga global.
Konflik itu turut menyebabkan harga minyak global melonjak dan mengorbankan ribuan nyawa.
Menurut sumber dari pihak pengantara Pakistan, Naib Presiden AS, JD Vance, utusan khas Steve Witkoff dan menantu Presiden Donald Trump, Jared Kushner, bertemu Speaker Parlimen Iran, Mohammad Baqer Qalibaf, serta Menteri Luar Abbas Araqchi selama dua jam sebelum berehat.
Pentadbiran Trump setakat ini belum mengesahkan secara rasmi sama ada rundingan telah berakhir atau memperincikan perbezaan yang masih wujud antara kedua-dua pihak.
Delegasi Iran tiba di Pakistan pada Jumaat dalam suasana berkabung bagi memperingati bekas Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, serta individu lain yang terkorban dalam konflik berkenaan.
Mereka turut membawa barangan peribadi pelajar yang terkorban dalam serangan udara AS berhampiran sebuah kemudahan ketenteraan, yang sedang disiasat oleh Pentagon.
Dalam pada itu sumber Pakistan berkata, suasana rundingan tegang, dengan perubahan emosi ketara daripada kedua-dua pihak sepanjang sesi pertama perbincangan.
Sepanjang rundingan berlangsung, bandar Islamabad dikawal ketat dengan kehadiran ribuan anggota keselamatan dan tentera, mencerminkan kepentingan diplomatik peranan Pakistan sebagai perantara, satu perubahan besar bagi negara itu selepas pernah berdepan pengasingan diplomatik sebelum ini.
Nnnn
