WASHINGTON – Kapal pemusnah USS Frank E Peterson dan USS Michael Murphy telah melalui Selat Hormuz dan beroperasi di Teluk Arab dalam misi yang bertujuan memastikan laluan perairan strategik itu selamat untuk pelayaran.
Menurut Komander Pentadbiran Pusat AS (CENTCOM), Laksamana Brad Cooper, kapal itu memulakan operasi membersihkan periuk api yang didakwa diletakkan oleh Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC).
“Hari ini, kami memulakan proses mewujudkan laluan baharu dan kami akan berkongsi laluan selamat ini dengan industri maritim tidak lama lagi bagi menggalakkan aliran perdagangan bebas,” katanya.
Kapal USS Frank E. Peterson dan USS Michael Murphy adalah kapal pemusnah peluru berpandu yang terbabit dalam operasi itu, namun CENTCOM memaklumkan pasukan tambahan AS termasuk dron bawah air mungkin menyertai usaha berkenaan dalam beberapa hari akan datang
Bagaimanapun , Iran menafikan dakwaan mengenai kemasukan kapal tentera AS ke Selat Hormuz itu dengan mengancam akan bertindak tegas terhadap kapal tentera yang melintasi laluan strategik berkenaan.
Jurucakap Ibu Pejabat Pusat Khatam al-Anbiya, Ebrahim Zolfaghari, berkata Iran menolak sekeras-kerasnya dakwaan terbabit.
“Inisiatif bagi laluan mana-mana kapal terletak di bawah kuasa angkatan bersenjata Republik Islam Iran,” katanya.
Penyiar negara Iran, IRIB, kemudian memetik Komando Tentera Laut Pengawal Revolusi sebagai berkata: “Sebarang cubaan kapal tentera untuk melalui Selat Hormuz akan ditangani dengan tegas.”
Ia menambah bahawa laluan melalui selat itu hanya akan dibenarkan kepada kapal awam dalam keadaan tertentu.
Terdahulu, Trump dalam satu hantaran di media sosial berkata AS sedang memulakan proses membersihkan Selat Hormuz dan menyifatkan langkah itu sebagai “satu bantuan” kepada negara seperti China, Jepun dan Perancis yang tidak mempunyai keberanian atau kemahuan untuk melakukan tugas ini sendiri.
Trump turut menegaskan Iran sedang mengalami kekalahan besar dalam konflik itu, sambil mengakui periuk api Iran di selat strategik berkenaan masih menjadi ancaman.
Nnnn
