KOTA BHARU 12 April – Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Takiyuddin Hassan akan menyerahkan surat pemakluman kekosongan jawatan Ketua Pembangkang kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Johari Abdul dalam masa terdekat.
Takiyuddin berkata, urusan penyerahan surat itu tidak perlu tergesa-gesa asalkan surat peletakan jawatan Hamzah Zainudin sudah diketahui umum.
Katanya , PN sudah menerima surat Hamzah, yang mengosongkan jawatan Ketua Pembangkang dengan alasan untuk melihat suasana yang baik dan mungkin tindakannya itu boleh memudahkan proses dalam PN itu sendiri.
“Sebagai Ketua Whip, saya yang kena hantar (surat pemakluman kekosongan jawatan Ketua Pembangkang). Kita tak tergesa-gesa, yang penting surat Datuk Seri Hamzah tu orang sudah tahu. Jadi, secara rasmi, saya kena maklumkan kepada Speaker, ,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau hadir pada sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Kota Bharu dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bunut Payong di perkarangan Kediaman Rasmi Menteri Besar Kelantan JKR 10, di sini.
Media sebelum ini melaporkan Pengerusi PN, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, mengesahkan bahawa Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut, bukan lagi Ketua Pembangkang selepas beliau menghantar surat peletakan jawatan berkenaan, semalam.
Menteri Besar Terengganu itu turut memberitahu, pihaknya sudah mengarahkan Takiyuddin selaku Setiausaha Agung PN untuk menghantar surat pemakluman kekosongan jawatan itu kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat.
Berhubung calon yang akan mengisi kekosongan jawatan itu nanti, Takiyuddin berkata, calon sudah ada namun belum lagi ditentukan dan akan diputuskan sebelum sidang Dewan Rakyat pada Jun ini.
“Kita ada masa yang panjang dan kriteria (calon) bergantung kepada yang pertama adalah parti, kalau dari Pas, Pas kekalkan calonnya.
“Tok guru Haji Hadi (Tan Sri Abdul Hadi Awang) juga sebut, pandangan semua Ahli Parlimen juga diambil kira dan kita sekarang ini ada 43 dari Pas, 19 dari Bersatu.
“Kita ambil (pandangan) secara umum pandangan Ahli Parlimen, siapa yang patut jadi sebab Ketua Pembangkang adalah jawatan penting, maka pemilihannya amat hati-hati,” katanya.
Nnn
