KUANTAN – Ketika pelbagai pihak mendakwa kedai runcit Madani Mart ada persamaan dengan konsep Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M), Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh tampil menafikan kedai runcit itu menciplak model yang pernah diperkenalkan kerajaan sebelum ini.
Fuziah yang juga Setiausaha Agung PKR menolak dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan Madani Mart ibarat ‘menyalin baju’ KR1M sebaliknya model itu
menggunakan pendekatan baharu tanpa melibatkan perbelanjaan modal kerajaan.
Menurut bekas Ahli Parlimen Kuantan itu,, model sebelum ini memerlukan kerajaan menyediakan peruntukan besar termasuk kos pengubahsuaian premis dan inventori berbanding pelaksanaan Madani Mart dilakukan melalui kerjasama dengan pengusaha yang diluluskan.
“Pendekatan ini menjadikan Madani Mart sebagai model yang memberi manfaat kepada semua pihak tanpa membebankan kerajaan.
“Kalau orang kata ini ambil model terdahulu, tidak. Model terdahulu kerajaan keluar modal, kerajaan buat renovasi, kerajaan letak rak dan kerajaan yang bayar inventori sehingga ratusan ribu ringgit bagi setiap outlet
Dalam Madani Mart ini kerajaan tidak keluarkan modal. Jadi ia merupakan model menang-menang kepada semua pihak dan yang paling mendapat manfaat ialah rakyat,” katanya pada sidang media hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai pelaksanaan Madani Mart yang turut dijadikan rakan strategik tambahan kepada kira-kira 1,800 rakan strategik sedia ada bagi melaksanakan program Jualan Rahmah.
Sementara itu, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim merasmikan outlet pertama Madani Mart di Indera Mahkota di sini hari ini.
Terdahulu, Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh menyindir pelaksanaan inisiatif kedai runcit Madani Mart yang dilihat mempunyai persamaan dengan konsep KR1M ketika diperkenalkan kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.
Dr Muhamad Akmal berkata, meskipun inisiatif berkenaan pernah menerima kritikan daripada pembangkang, namun idea sama kini dilihat diteruskan dan diguna pakai kerajaan masa kini.
Justeru, beliau turut menyarankan kerajaan turut melaksanakan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).
“Tahniah kerajaan BN, idea serta polisi yang bagus dan diteruskan oleh kerajaan hari ini walaupun mereka pernah mengutuk idea tersebut. Yang baik kita akan terus sokong
Seterusnya, minta kerajaan laksanakan semula GST untuk kebaikan ekonomi negara, mungkin boleh tukar nama kepada Madani tax pun tidak apa,” katanya dalam kenyataan.
AKmal pada September 2023 pernah menyatakan harapan agar kerajaan mengembalikan KR1M yang diwujudkan sejak 2011.
Katanya, KR1M yang diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak itu membawa manfaat dalam mengurangkan beban rakyat selain membantu memasarkan produk pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) tempatan
“Moga kerajaan kali ini, dapat mewujudkan semula kedai seperti ini khas untuk warganegara Malaysia sahaja.
“Terima kasih Najib Razak atas usaha yang terbaik ini,” katanya sambil menggunakan #RinduZamanNajib menerusi satu hantaran di Facebooknya.
Menurut Ketua UMNO Bahagian Jasin itu lagi, meskipun kedai ini pada awalnya mendapat pelbagai respon namun ianya sedikit sebanyak membantu rakyat yang berdepan kekangan kewangan.
“Dulu ramai yang memperlekeh malah mencaci individu yang membina kedai ini. Hari ini, ramai yang sedar bahawa ini adalah kedai yang terbaik untuk rakyat di bawah ini,” kata Akmal.
Nnnn
