Andalusia tawar hadiah Proton Saga MC3

KUALA LUMPUR 3 April  – Sebuah kereta Proton Saga MC3 ditawarkan sebagai hadiah utama cabutan bertuah kepada pelanggan Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. (Andalusia) yang membuat tempahan dengan nilai minimum RM5,000 seorang.

Sama ada pakej umrah atau pelancongan, mereka yang membuat tempahan sempena MATTA Fair April 2026 yang sedang berlangsung di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC) layak menyertai cabutan bertuah itu.

Pegawai Pemasaran Andalusia, Khairul Aiman Abdullah Ayub berkata, tempahan boleh dibuat sama ada di rerurai MATTA Fair di MITEC, semua cawangan Andalusia di seluruh negara atau secara dalam talian sehingga 5 April ini.

Katanya, rerurai Andalusia sempena MATTA Fair terletak di aras 2 (2AP35) dan di aras 3 (3D13) berdekatan rerurai MAS.

Menurut Khairul Aiman, pada MATTA Fair kali ini, syarikat pengendali haji, umrah dan pelancongan itu juga tampil dengan pelbagai tawaran menarik termasuk diskaun pakej dan pembukaan tarikh umrah musim baharu.

“Andalusia menawarkan diskaun pakej Umrah antara RM100 hingga RM500, manakala pakej pelancongan pula menikmati potongan harga RM50 hingga RM200 sepanjang pameran berlangsung,” katanya kepada media di MITEC.

Beliau berkata, penawaran ini memberi peluang kepada pelanggan untuk mendapatkan pakej perjalanan pada harga yang lebih berbaloi, khususnya bagi mereka yang mahu membuat perancangan awal.

Selain itu, Andalusia turut membuka tempahan awal bagi musim baharu umrah 1448H membabitkan penerbangan bermula Jun 2026 hingga Syawal atau Mac 2027.

Khairul berkata, pembukaan awal ini memberi ruang kepada bakal jemaah merancang perjalanan dengan lebih teratur termasuk dari segi kewangan, cuti dan persediaan sebelum berlepas.

Katanya, penyertaan Andalusia dalam MATTA Fair kali ini mencerminkan komitmen berterusan syarikat dalam menawarkan pakej kompetitif, fleksibel serta memenuhi keperluan pelanggan masa kini.

“Orang ramai dijemput mengunjungi booth Andalusia di MITEC bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai pakej ditawarkan serta peluang menyertai cabutan bertuah berkenaan,” katanya.

Khairul berkata, pihaknya menjangkakan dapat menarik kira-kira 6,000 pengunjung untuk mendapatkan pelbagai tawaran serta diskaun istimewa yang disediakan Andalusia sepanjang pameran berlangsung.

Nnn

Related posts

Leave a Comment