PUTRAJAYA 31 Mac – Kerajaan menafikan dakwaan media antarabangsa kononnya Perdana Menteri Anwar Ibrahim meminta jawatankuasa khas menangguhkan pendedahan hasil siasatan pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki.
Justeru itu, Ketua Setiausaha Negara, Shamsul Azri Abu Bakar, berkata Jabatan Peguam Negara akan mengambil tindakan selanjutnya terhadap media berkenaan terkait dakwaan yang dibuatnya.
“Selaras dengan pembentangan Jawatankuasa Siasatan dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada 11 Mac lalu, prosiding sudah dimulakan di bawah Peraturan-Peraturan Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.
“Prosiding ini mempunyai proses dan tatacara yang perlu dipatuhi. Sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Media semalam melaporkan, Bloomberg yang memetik sumber mendakwa Anwar meminta jawatankuasa khas menangguhkan pendedahan hasil siasatan berkaitan isu pemilikan saham Azam.
Kerajaan sebelum ini menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menyiasat dakwaan pemilikan saham yang dikaitkan dengan Azam.
Siasatan itu dijalankan susulan laporan media asing Bloomberg mendakwa Azam memegang jutaan saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan berdasarkan pemfailan korporat.
Media juga sebelum ini melaporkan Lembaga Disiplin Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan bermesyuarat dalam tempoh terdekat berhubung laporan Jawatankuasa Khas Siasatan berkaitan isu pemilikan saham membabitkan Azam.
Shamsul Azri ketika itu berkata, beliau sudah menerima laporan terbabit daripada pengerusi jawatankuasa khas berkenaan yang juga Peguam Negara, Mohd Dusuki Mokhtar.
Nnnn
