Pampasan segera kepada mangsa pemandu mabuk

SEPANG 30 Mac  – Dua pendakwah bebas menyarankan pampasan dapat disampaikan segera kepada keluarga mangsa yang kehilangan tempat bergantung akibat kematian di jalan raya disebabkan pemandu mabuk.

Saranan itu susulan kematian Amirul Hafiz Omar, penunggang motosikal yang dipercayai dirempuh pemandu mabuk dalam kemalangan di Jalan Raya Barat, Klang semalam menyebabkan isteri menjadi balu, tiga anak kehilangan ayah.

Ustaz Wadi Annuar, menerusi Facebook menegaskan hukuman penjara terhadap pemandu mabuk yang menyebabkan kematian tidak mampu menampung kehidupan keluarga, anak yatim dan isteri mangsa yang hilang punca nafkah.

Sehubungan itu, beliau menggesa undang-undang sedia ada perlu diperkasa agar pampasan dapat disalurkan kepada waris mangsa dengan segera tanpa membebankan mereka.

“Undang-undang perlu diperkasakan agar pampasan (diyat) sampai segera kepada waris tanpa menyusahkan mereka,” katanya.

Sementara itu Firdaus Wong menerusi hantaran di Facebooknya menyarankan jika hukuman mati tidak boleh dikenakan terhadap pemandu mabuk yang mengakibatkan kematian, wajibkan  mereka membayar kos sara hidup yang tinggi kepada waris.

“Tidak adil mereka yang memandu dalam keadaan mabuk, dihukum penjara kemudian dibebaskan dan kembali ke pangkuan keluarga namun waris mangsa pemandu mabuk kehilangan ahli keluarga mereka buat selama-lamanya! Cukup-cukuplah!,” katanya.

Semalam, Amirul Hafiz, 33, maut apabila motosikal ditunggangnya dirempuh kereta dipandu pemandu mabuk, dalam kejadian di Jalan Raya Barat di Klang, semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey, dilaporkan berkata siasatan awal mendapati Honda City dipandu lelaki berusia lingkungan 20-an dari arah Jalan Raya Barat menghala ke bandar Klang secara melulu dan pada kelajuan tinggi.

Apabila tiba di lokasi kejadian, pemandu dipercayai memotong beberapa kenderaan sebelum memasuki laluan bertentangan dan melanggar motosikal dari arah bertentangan dan impak pelanggaran menyebabkan mangsa tercampak ke atas Perodua Myvi sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ujian saringan ke atas suspek mendapati lelaki itu positif alkohol dan dadah. Pemandu terbabit kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan.

Allahyarham dilaporkan keluar rumah kira-kira pukul 10 pagi untuk ke Seksyen 19, Shah Alam bagi membeli buku Matematik anak sulung yang akan memulakan sesi persekolahan.

Amirul Hafiz meninggalkan seorang isteri Nor Nadia Abdul Majid, 32, serta tiga anak berusia dua hingga sembilan tahun.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment