SEREMBAN 21 Sept. – DAP yang bersiap siaga menghadapi kemungkinan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) diadakan lebih awal menyarankan pilihan raya serentak peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di semua negeri Semenanjung.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, cadangan itu wajar dipertimbangkan bagi menjimatkan kos dan menyelaraskan tempoh penggal Parlimen dan DUN.
Beliau berkata, walaupun pembubaran DUN adalah bawah hak dan kuasa peringkat negeri masing-masing, tetapi biasanya pilihan raya peringkat Parlimen serta DUN memang diadakan serentak kecuali di Sabah dan Sarawak.
“Memang ada pertimbangan berlainan kerana DUN di negeri-negeri ada kuasa dan hak untuk menentukan bila boleh dibubarkan tetapi bagi saya, kerajaan negeri bawah Pakatan Harapan (PH) harus dapat berbincang dengan Kerajaan Persekutuan terutama Perdana Menteri, supaya PRU16 diadakan serentak,” katanya.
Loke berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Tahunan DAP Negeri Sembilan Kali Ke-23 yang turut dihadiri Menteri Besar merangkap Pengerusi PH negeri, Aminuddin Harun, di sini, hari ini.
Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) berlangsung pada 19 November 2022, tetapi tidak serentak dengan PRN di beberapa negeri di Semenanjung ketika itu.
Menteri Pengangkutan itu menjelaskan, kerajaan terpaksa memperuntukkan dana besar bagi melaksanakan proses pilihan raya dan jika dijalankan serentak, kos logistik akan dapat dikurangkan.
Menurut Loke, ia juga seiring usaha DAP dan PH untuk memaksimumkan peluang parti memenangi pilihan raya kelak, tambahan pula persiapan mental serta fizikal sudah dilakukan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tidak lama lagi.
Bagaimanapun, katanya, perkara itu belum dibincangkan secara rasmi sama ada dalam kalangan anggota DAP mahupun rakan gabungan PH, selain ia adalah kuasa prerogatif Perdana Menteri.
Namun, beliau berkata, DAP bersiap siaga termasuk untuk menghadapi kemungkinan PRU16 diadakan lebih awal kerana dari segi kelaziman, parti memulakan persiapan menghadapi pilihan raya selepas tempoh penggal melepasi separuh atau tiga tahun.
