Menghukum pemberi makan kepada rakyat

SEPANG 27 Mac – Kenaikan harga diesel bukan lagi soal pelarasan subsidi sebaliknya keputusan politik yang menghukum golongan yang ‘memberi makan’ kepada rakyat, kata Presiden Putra Ibrahim Ali.

Katanya, golongan tersebut yang terdiri daripada nelayan, petani dan pengusaha logistik bukan golongan mewah, tetapi ‘tulang belakang makanan’ negara yang sememangnya kerajaan tahu kesannya kepada golongan ini.

“Bot nelayan bergerak dengan diesel, mesin petani bergantung kepada diesel, lori yang membawa makanan ke seluruh negara juga menggunakan diesel. Ini asas yang semua orang faham, termasuk kerajaan, tetapi kos mereka dinaikkan.

Bila kerajaan tahu kesannya kepada golongan ini tetapi tetap melaksanakannya, itu bukan lagi kesilapan,” katanya dalam satu kenyataan sambil menyifatkan keputusan itu menyusahkan dan pengkhianatan kepada rakyat sendiri.

Beliau berkata, negara yang waras akan melindungi sektor makanan terlebih dahulu kerana di situ bermulanya kestabilan harga dan keselamatan rakyat tetapi hari ini sesuatu yang memalukan berlaku apabila yang memberi makan kepada rakyat ditekan terlebih dahulu.

Menteri tidak mengisi diesel bot nelayan. Menteri tidak memandu lori sayur ke pasar. Tetapi mereka yang tidak pernah merasai beban itu, dengan mudah membuat keputusan untuk mereka yang terpaksa menanggungnya setiap hari,” katanya.

Beliau berkata masalah ini berlaku apabila dasar dibuat jauh dari realiti, di mana yang duduk di pejabat bercakap soal angka, sementara yang di bawah terpaksa menanggung akibat.

“Ini bukan reformasi, bukan keberanian. Ini keputusan bodoh dan zalim tetapi dibungkus dengan bahasa indah supaya nampak seolah-olah madani. Apabila kos nelayan naik, harga ikan naik, kos petani naik, harga sayur naik.

Ini bukan teori ekonomi tapi ini realiti dapur rakyat yang akan terus menekan hari demi hari. Lebih membimbangkan, semua ini dilakukan ketika kerajaan masih bercakap tentang keadilan, kesejahteraan dan pembelaan rakyat,” katanya.

Beliau berkata, jika ini yang dimaksudkan dengan “Madani”, maka rakyat berhak bertanya, Madani tu untuk siapa sebenarnya?

Ibrahim mengingatkan, ini bukan lagi soal ekonomi tetapi soal keselamatan makanan negara di mana apabila pengeluaran tempatan ditekan, Malaysia akan dipaksa bergantung kepada import yang lebih mahal dan tidak stabil.

Justeru beliau mempersoalkan, adakah kerajaan tidak faham kesan ini atau sengaja mengabaikannya?

“Jika tidak faham, mereka tidak layak mentadbir negara. Jika faham tetapi tetap melaksanakan dasar ini, itu membuktikan mereka tidak peduli kepada rakyat. Rakyat mungkin tidak membaca laporan ekonomi, tetapi mereka akan merasai kesannya setiap hari apabila harga makanan terus naik tanpa kawalan,” katanya.

Hakikatnya kata Ibrahim sangat jelas, iaitu apabila orang yang memberi makan kepada rakyat ditekan, bermakna kerajaan sedang menekan perut rakyat sendiri.

“Dan bila perut rakyat terus ditekan, jangan salahkan rakyat jika mereka mula mempersoalkan siapa sebenarnya yang layak memimpin negara ini,” katanya.

Nnnnnn

Related posts

Leave a Comment