SEPANG 27 Mac – Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) berstatus krisis sepatutnya diaktifkan bagi memantau perkembangan global dan menyusun tindak balas ekonomi yang pantas dan bersepadu secara harian.
Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, berkata, tindakan membabitkan sektor awam dan swasta itu adalah seperti yang pernah dilaksanakan ketika krisis ekonomi 1997–98, 2008 dan semasa pandemik Covid-19.
Beliau juga meminta kerajaan mengadakan pakej rangsangan untuk melindungi sektor kritikal dan pemain industri, terutamanya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) supaya kesan terhadap rakyat dan ekonomi diminimumkan.
“Apa yang diperlukan rakyat ialah hala tuju ekonomi yang jelas iaitu strategi menangani inflasi, jaminan bekalan makanan dan tenaga serta perlindungan terhadap pendapatan dan kelangsungan perniagaan tempatan,” katanya.
Muhyiddin berkata, ketika saat genting ini, kepemimpinan negara mesti tegas dan jelas ketika saat genting ini dan kegagalan berbuat demikian hanya akan menghakis keyakinan rakyat dan pasaran terhadap keupayaan kerajaan mengurus krisis ini
Bekas Perdana Menteri itu berkata, Perutusan Khas Perdana Menteri semalam juga mengesahkan kebimbangan rakyat bahawa keadaan ekonomi semakin mencabar susulan ketidakstabilan geopolitik di Asia Barat.
Bagaimanapun katanya, ia gagal memberikan keyakinan mengenai kerajaan mempunyai pelan yang jelas, tersusun dan segera untuk menghadapi kemungkinan kegawatan global.
“Malaysia sebagai ekonomi terbuka tidak terkecuali daripada risiko kenaikan harga minyak, gangguan rantaian bekalan dan tekanan inflasi. Persoalannya, adakah kerajaan benar-benar bersedia?
Langkah seperti penyelarasan BUDI95 dan kawalan diesel dilihat bersifat pentadbiran semata-mata, tanpa menjawab isu asas keterjaminan bekalan tenaga.
“Rakyat berhak mengetahui tahap sebenar rizab, tempoh ketahanan bekalan serta pelan kontingensi sekiranya berlaku gangguan besar,” katanya yang turut mempersoalkan tanggapan situasi Malaysia berada dalam keadaan ‘lebih baik’ juga tidak memadai tanpa penjelasan terperinci yang jelas.
“Malah usaha membawa pulang kapal minyak dari Iran menimbulkan persoalan baharu mengenai tahap risiko sebenar terhadap bekalan tenaga negara.
“Untuk lebih telus, bolehkah kerajaan menjelaskan berapakah hasil yang diperoleh oleh Petronas dengan kenaikan harga minyak dunia pada masa ini dan berapa banyak yang boleh dikembalikan kepada rakyat dengan cara mengawal kenaikan harga minyak supaya tidak keterlaluan?
“Kenyataan kerajaan bahawa 90 peratus rakyat tidak terjejas dengan kenaikan yang keterlaluan ini adalah amat mengelirukan kerana ia pastinya menyebabkan kenaikan kos dalam rantaian bekalan dan peningkatan harga barangan keperluan harian rakyat secara mendadak.
Hakikatnya 100% rakyat terjejas dengan kenaikan harga minyak,” katanyq.
Beliau turut menyatakan kebimbangan terhadap pendekatan kerajaan yang masih bersifat “sedang difikirkan”.
“Dalam krisis, rakyat memerlukan kepastian, garis masa dan tindakan konkrit bukan sekadar kemungkinan. Kerajaan perlu lebih telus dalam menjelaskan kedudukan sebenar ekonomi negara dan strategi jangka masa pendek, sederhana dan panjang.
Kelewatan hanya akan meningkatkan ketidakpastian pasaran dan menekan kos sara hidup,” katanya.
Nnnj
