Kes harian kembali di bawah 3,000

PUTRAJAYA 28 Ogos – Selepas dua hari merekodkan angka melebihi 3,000, jumlah kes harian Covid-19 semalam turun kepada 2,491, kesemuanya kes tempatan berbanding 3,118 kelmarin dan 3,206 pada hari sebelumnya.

Dengan perkembangan ini jumlah keseluruhan keseluruhan kes positif yang dilaporkan sejak Januari 2020 hingga kini mencecah angka 4,735,929.

Pada masa sama, sebanyak 3,715 kes sembuh dilaporkan setakat tengah malam tadi, menyumbang kepada sejumlah 4,703,299 keseluruhan kes pulih sepenuhnya daripada jangkitan Covid-19.

Lima kematian akibat Covid-19 semalam, di mana dua kes masing-masing di Selangor dan Kuala Lumpur manakala satu kes kematian di luar fasiliti kesihatan (BID) direkodkan di Sarawak.

Setakat tengah malam tadi, sebanyak 34,508 kes aktif dilaporkan dengan 33,090 kes menjalani kuarantin di rumah, 1,324 pesakit dirawat di hospital manakala 22 lagi menjalani rawatan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC).

Kementerian Kesihatan (KKM) turut melaporkan seramai 72 pesakit Covid-19 ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 49 daripada mereka memerlukan bantuan pernafasan.

Penggunaan keseluruhan wad ICU di seluruh negara pula pada paras 63.9 peratus dengan 19.3 peratus daripada untuk merawat pesakit Covid-19.

Sementara itu, Selangor merekodkan kes harian tertinggi dengan 656, diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 507, Sabah 234, Perak 211, Negeri Sembilan 157, Sarawak 115, Melaka 109 dan Pulau Pinang 100.

Negeri yang mencatatkan kes di bawah 100 adalah Pahang 80, Kedah 78, Johor 71, Wilayah Persekutuan Putrajaya 61, Kelantan 57, Terengganu 40, Wilayah Persekutuan Labuan 10 dan Perlis 5.

Related posts

Leave a Comment