RM9.5 juta ‘yuran perkhidmatan’ bukan ‘kaw tim’

SEPANG 26 Mac  – Ahli perniagaan, Victor Chin mendakwa bayaran RM9.5 juta, yang dipercayai disalurkan kepada kumpulan mafia korporat bukannya rasuah sebaliknya ‘yuran perkhidmatan’ yang dibuat dalam situasi ekstrem bagi menghentikan permusuhan terhadap individu-individu yang dipercayai ada kaitan dengannya.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata bayaran itu bukan dibuat untuk ‘kaw tim’ dengan mana-mana agensi penguatkuasaan atau menutup sebarang siasatan dan menyelesaikan dakwaan salah laku terhadapnya.

Beliau dimaklumkan, pembayaran itu akan disalurkan kepada kumpulan mafia korporat bagi memuaskan hati mereka, menghentikan tindakan permusuhan terhadap mereka di sekelilingnya dan memberi beliau peluang kedua untuk meneruskan kehidupan.

“Letakkan diri anda di tempat saya. Saya berada di bawah tekanan yang sangat kuat daripada kumpulan mafia korporat. Mereka menekan dan memaksa saya untuk menyerahkan saham-saham saya secara percuma kepada mereka.

Bagi mencapai tujuan ini, mereka menyasarkan orang tersayang saya, rakan kongsi perniagaan, syarikat-syarikat, rakan-rakan, malah individu yang sekadar dianggap mempunyai kaitan dengan saya.

“Mereka membekukan lebih 500 akaun milik individu yang dipercayai ada kaitan dengan saya. Dalam sekelip mata, gaji tidak dapat dibayar, pinjaman perumahan dan kenderaan tidak dapat dilunaskan.

Semua individu dan syarikat yang terjejas berada dalam keadaan panik secara serentak dan mengalami tekanan kewangan serta mental yang serius,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan, Victor yang kini disiasat kerana dipercayai terbabit dalam kegiatan mafia korporat memberi kata dua kepada seorang Ahli Parlimen PKR yang tidak dinamakan supaya memulangkan semula wangnya sebelum 30 Mac ini, selepas dikatakan gagal menyelesaikan masalah yang dihadapi beliau atau beliau akan mendedahkan identiti Ahli Parlimen itu kepada umum.

Dalam satu kenyataan setebal 40 muka surat, Victor mendakwa, Ahli Parlimen itu meminta RM10 juta secara tunai daripadanya pada Oktober 2025, dengan mendakwa boleh menyelesaikan isu perundangan yang dihadapi Victor berhubung kes mafia korporat itu.

Victor mendakwa, beliau sudah membayar RM9.5 juta daripada jumlah itu, namun kini menuntut bayaran balik sepenuhnya kerana masalahnya itu tidak diselesaikan.

Menerusi kenyataannya, Victor mendakwa, beliau tidak mempunyai pilihan dan berasa amat bersalah kerana mereka yang berada di sekelilingnya menderita hanya kerana mengenali beliau atau pernah dikaitkan dengannya.

“Saya membuat pembayaran tersebut demi melindungi orang-orang dan rakan-rakan saya dengan harapan dapat mengakhiri kesengsaraan kewangan mereka dengan serta-merta.

“Pembayaran RM9.5 juta itu hanyalah satu tindak balas untuk menghentikan tindakan melampau (ekstrem) oleh kumpulan mafia korporat. Kekayaan terbesar dalam hidup bukanlah wang tetapi ketenangan fikiran.

“Saya sanggup melakukan apa saja demi ketenangan fikiran mereka di sekeliling saya,” katanya.

Victor pada masa sama juga menegaskan, beliau menyambut baik penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat kegiatan mafia korporat itu atau apa-apa siasatan yang adil dan bebas bagi merungkai kebenaran sepenuhnya.

“Saya berharap ia akan dijalankan secara menyeluruh dan saksama, merangkumi semua pihak yang terbabit atau berkaitan dengan perkara ini, dan tidak terhad kepada saya sebagai individu sahaja,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment