Bersatu disaran bersama UMNO

SEPANG 24 Mac – Veteran UMNO Mohd Yussof Latiff menyarankan pimpinan dan ahli Bersatu kembali kepada UMNO yang kini membuka pintunya kepada bekas-bekas ahli sama ada yang dipecat, digantung atau meninggalkan UMNO.

Katanya, pemimpin Bersatu perlu melupakan sengketa lalu dan berpaut kembali kepada tunjang di mana mereka berasal iaitu UMNO manakala pemimpin-pemimpin UMNO sekarang perlu juga melihat scenario yang lebih besar dan penting.

“Keluarlah daripada kepompong mementingkan diri dan kroni. Kembalikan kepercayaan orang Melayu kepada UMNO dengan memperlihatan penyatuan dan silaturahim yang ikhlas sempena Aidilfitri dengan bermaaf-maafan dalam kalangan pemimpin-pemimpin politik Melayu,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Yussof merujuk pergolakan dalaman Bersatu termasuk pemecatan pemimpin parti itu seperti Datuk Seri Hamzah Zainudin serta hala tuju parti yang tidak menentu dan memerlukan jalan penyelesaian.

Katanya, Bersatu adalah serpihan daripada parti besar Melayu iaitu UMNO dan pemimpinnya termasuk Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan ramai ahli Bersatu ‘berdarah’ UMNO dengan cara berfikir UMNO.

Beliau berkata pengaruh dan pengalaman pemimpin seperti Muhyiddin dan Azmin, boleh membantu menguatkan dan mengembalikan keyakinan orang Melayu kepada UMNO seterusnya membawa arus perubahan yang diperlukan kepada agenda politik orang Melayu yang semakin mencabar ini.

Katanya, kemuncak pergolakan dalam Bersatu apabila Hamzah Zainuddin dipecat sebagai Timbalan Presiden yang membawa kemungkinan Ahli Parlimen Larut itu menubuhkan sebuah lagi parti baharu.

Selain isu Hamzah, Mohd Yussof berkata, Bersatu juga dilihat cenderung kepada Pakatan Harapan (PH) yang memerintah Malaysia sekarang tetapi Bersatu menafikan kerjasama itu sebaliknya akan kekal dalam Perikatan Nasional (PN).

“Apakah solusi kepada pergolakan yang berterusan ini? Isu-isu besar seperti pergolakan dalaman, krisis kepemimpinan, pemecatan ahli, spekulasi dan kerjasama politik menghantui Bersatu. Isu-isu ini menunjukkan situasi yang dinamik dan mencabar bagi Bersatu, terutamanya dalam mengekalkan kesatuan dalaman dan kedudukan dalam arena politik negara. Apakah scenario masa depan Bersatu?

Justeru pilihan yang ada kata veteran UMNO itu adalah dengan kembali kepada ‘Rumah Bangsa’ yang dipelopori UMNO.

“Ketika ini terdapat usaha UMNO untuk membina satu keluarga besar bagi mengisi kelompongan perjuangan orang Melayu yang bersatu dalam menghadapi pelbagai cabaran politik negara khususnya daripada parti-parti bukan Melayu.

Pelbagai isu besar dan sensitif yang sedang melanda orang Melayu seperti isu kuil Hindu yang tidak sah kewujudannya perlu ditangani dengan suara Melayu yang bersatu padu dan kuat,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment