DAP atur pertemuan Guan Eng, Kon Yeow

TANJONG – Satu pertemuan antara Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, dengan bekas Ketua Menteri, Lim Guan Eng, akan diatur bagi menyelesaikan pertikaian berterusan mengenai kadar cukai tanah baharu di negeri ini.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, kepemimpinan pusat amat bimbang dengan pertelingkahan terbuka dua pemimpin itu yang disifatkan sebagai tidak sihat serta tidak sesuai, terutama ketika ketidakpastian geopolitik dan ekonomi semasa.

“Sebarang perselisihan faham, terutama daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) penyokong kerajaan mengenai keputusan kerajaan negeri, harus ditangani melalui mekanisme dalaman sedia ada dan bukannya disiarkan secara terbuka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Loke yang juga Menteri Pengangkutan berkata, walaupun ada keperluan untuk mengkaji semula kadar cukai tanah di zon komersial bagi memastikan kemampanan kewangan kerajaan negeri, pendekatan itu mesti seimbang, responsif dan bertimbang rasa.

Khususnya, beliau berkata, cukai tanah membabitkan institusi pendidikan seperti sekolah awam, tidak seharusnya dinaikkan secara berlebihan dan kadar nominal perlu dikenakan.

Kerajaan negeri telah melaksanakan semakan kadar cukai tanah dan klasifikasi tanah luar bandar kepada bandar bagi seluruh Pulau Pinang mengikut peruntukan Seksyen 101 Kanun Tanah Negara (Akta 828) yang berkuat kuasa 1 Januari lalu.

Pelaksanaan semakan kadar cukai tanah itu membabitkan hampir 370,000 hak milik tanah di seluruh Pulau Pinang meliputi pelbagai kategori dan kegunaan tanah termasuk kediaman, komersial, industri, pertanian dan kategori khas lain.

Sebelum ini, Kon Yeow menyatakan kekesalan terhadap pihak tertentu yang didakwa cuba mensensasikan kenaikan itu tanpa memahami pengiraan dan penggunaan tanah sebenar.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment