KUALA LUMPUR 3 Mac – Ahli Parlimen kerajaan yang tidak hadir sepatutnya dipersalahkan bukannya menyalahkan pembangkang susulan kegagalan meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2026 di Dewan Rakyat semalam
Ketua Pembangkang, Hamzah Zainuddin berkata, hakikatnya blok kerajaan sudah memiliki sokongan 154 Ahli Parlimen untuk mempertahankan usul mereka.
Beliau menegaskan, blok pembangkang tidak pernah menolak RUU ini, sebaliknya mengambil pendirian untuk berkecuali dalam memutuskannya semalam.
“Yang mahu salahkan pembangkang ini pasal apa? Kalau tengok daripada ucapan Ahli-Ahli Parlimen pembangkang, semuanya mengatakan kami bersetuju tetapi dengan syarat.
Kalau syarat itu tidak diambil kira, maka bermakna bukan kita tolak, kita berkecuali. Semua kita tidak mengundi. Ada yang keluar dewan, ada yang tidak mengundi. Jadi nak salahkan kenapa?
Daripada awal lagi kita sudah maklumkan perkara ini. Apa yang jadi masalahnya adalah Ahli Parlimen kerajaan yang tidak mengundi, itu yang patut disalahkan. Kerana kerajaan mempunyai undi untuk mempertahankan usul mereka, bukan nak menyalahkan pembangkang yang berkecuali,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.
RUU itu semalam gagal memperoleh sokongan dua pertiga Ahli Parlimen, apabila hanya 146 Ahli Parlimen menyokong, sementara 32 Ahli Parlimen tidak hadir dan 44 Ahli Parlimen berkecuali, selepas ia dibahaskan oleh seramai 41 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.
Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut turut menasihatkan kerajaan supaya membuat persiapan lebih awal termasuk menemui dan menghubungi kesemua Ahli Parlimen mereka untuk memastikan kehadiran penuh dalam dewan, terutama ketika proses undian berlangsung.
“Kamu (kerajaan) sudah ada jumlah yang besar, 154 (Ahli Parlimen) adalah penyokong kerajaan. Kalau nak buat undang-undang yang dapat memastikan ada dua pertiga datang mengundi, kena panggil seorang-seorang Ahli (Parlimen) kerajaan.
“Kerajaan tanya… eh, kamu ada, kamu sakit ke, kamu dalam hospital ke, kamu macam mana, dalam trafik jem, semua itu kena tanya. Jadi, katalah dia (dalam) trafik jam, kita hantar nota pada menteri, minta menteri panjangkan sikit (ucapan perbahasan dan gulung), sebab ada dua, tiga orang tak sempat datang.
“Saya nak mengajar kerajaan, bukan nak sekolahkan tetapi saja-saja nak mengajar. Supaya perkara ni nanti tak timbul lagi. Kami mahu supaya rakyat faham bahawa pembangkang adalah satu-satunya kumpulan yang bersedia menyokong kalau perkara (RUU) itu baik,” katanya.
Nnnn
