SEPANG 24 Feb. – Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) Negeri Terengganu, Hanafiah Mat tidak diwajibkan meletak jawatan, kerana kapasiti beliau sebagai Exco tidak menjejaskan proses pendakwaan dan perbicaraan.
Menteri Besar Terengganu, Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata seseorang tidak boleh dianggap bersalah sehingga dibuktikan di mahkamah.
“Semua pihak diminta tidak membuat spekulasi atau sebarang penilaian awal yang boleh menjejaskan proses keadilan,” katanya dalam satu kenyataan susulan pendakwaan menyalahgunakan kedudukan keatas Exco berkenaan.
Beliau berkata, kerajaan negeri mengambil maklum isu yang kini di peringkat pendakwaan dan perbicaraan dan komited menjaga integriti dan menghormati sepenuhnya proses undang-undang yang sedang berjalan.
“Saya menyeru semua pihak agar bertenang dan memberi ruang kepada sistem perundangan menjalankan tugasnya secara profesional.Semoga kita semua terus dipandu dalam melaksanakan amanah ini,” katanya.
Hanafiah Exco Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu atas dua pertuduhan menyalahgunakan kedudukan bagi mendapatkan suapan membabitkan ahli keluarganya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan hadapan Hakim Azman Mustafa.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan kedudukannya sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Pengerusi Pangkalan Bekalan Kemaman Sdn Bhd (PBKSB) untuk mendapatkan suapan bagi anak kandungnya, Mohd Najmi Hanafiah, pada 15 Ogos 2020.
Bagi pertuduhan kedua, beliau didakwa melakukan perbuatan sama pada 18 Jun 2020 bagi mendapatkan suapan untuk seorang lagi anak kandungnya, Ahmad Kamil Hanafiah.
Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat EPIC Berhad, Tingkat 2, Bangunan Annexe, Pangkalan Bekalan Kemaman, Teluk Kalong, Kemaman.
Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000.
Terdahulu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memohon jaminan RM50,000 terhadap tertuduh, bagaimanapun, mahkamah membenarkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di pejabat SPRM setiap bulan.
Tertuduh diwakili peguam Mohd Fadly Hashim manakala kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Rabiatul Addawiah Mohd Noorlee.
Nnnnn
