RIYADH – Visa Haji bagi musim 1447 Hijrah atau 2026 mula dikeluarkan seawal 8 Februari lalu kira-kira empat bulan sebelum musim ibadah bermula, berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Menurut Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi pengeluaran visa lebih awal adalah sebahagian daripada kalendar operasi strategik bagi memastikan kesiapsiagaan perkhidmatan dan infrastruktur sebelum ketibaan jemaah.
Kementerian turut memaklumkan bahawa semua kontrak perkhidmatan di Tanah Suci, termasuk penginapan di Makkah dan Madinah serta perkhidmatan pengangkutan di lokasi ibadah, telah dimuktamadkan pada Januari 2026.
Pendaftaran jemaah di negara-negara peserta pula dibuka sejak Oktober tahun lalu selepas mesyuarat persiapan diselesaikan.
Setakat ini, kira-kira 750,000 jemaah telah mendaftar, termasuk 30,000 yang menempah pakej secara langsung dari negara masing-masing.
Sebanyak 485 kem khas telah diperuntukkan untuk menempatkan jemaah antarabangsa, manakala 73 pejabat urusan Haji di pelbagai negara telah memenuhi syarat kontrak asas.
“Rombongan pertama jemaah dijangka tiba di Arab Saudi pada 18 April 2026, menandakan fasa operasi akhir musim ini,” jelas kementerian.
Kementerian menggunakan platform digital rasmi Nusuk Masar serta sistem dompet elektronik untuk mempercepatkan proses kontrak dan pembayaran, selain meningkatkan ketelusan dan mengurangkan kekeliruan tempahan.
Kementerian menegaskan pematuhan ketat terhadap garis masa yang ditetapkan adalah penting untuk memastikan ibadah Haji berlangsung dengan selamat dan teratur.
“Pematuhan jadual ini penting bagi memastikan jemaah dapat menunaikan ibadah dalam suasana yang selamat, cekap dan bermaruah,” menurut kenyataan itu.
Musim Haji 2026 dijangka berlangsung antara 24 hingga 29 Mei, tertakluk kepada cerapan anak bulan.
Menurut Pihak Berkuasa Am Statistik Arab Saudi (GASTAT), seramai 1,673,230 jemaah menunaikan Haji pada 2025, dengan 90 peratus daripadanya adalah jemaah antarabangsa dan 95 peratus tiba melalui udara.
Dalam sektor perhotelan, Arab Saudi merancang menambah 320,000 bilik hotel baharu bagi memenuhi peningkatan permintaan, termasuk kira-kira 221,000 bilik di Makkah dan Madinah menjelang 2030.
Pada Januari lalu, rangkaian Hilton membuka dua hotel baharu di Makkah, menggandakan kehadirannya di kota itu kepada lebih 4,100 bilik.
Nnnn
