Tiada persetujuan muktamad Trump, Netanyahu

WASHINGTON –  Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, berkata rundingan dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, tidak mencapai sebarang persetujuan muktamad sama ada mengenai isu Gaza atau hala tuju berhubung Iran.

Bagaimanapun beliau menegaskan rundingan dengan Tehran akan diteruskan bagi melihat sekiranya perjanjian boleh dicapai.

“Tiada perkara muktamad dicapai melainkan saya menegaskan bahawa rundingan dengan Iran diteruskan untuk melihat sama ada perjanjian boleh dimeterai atau tidak,” kata Trump dalam hantaran di media sosial selepas bertemu Netanyahu.

Trump memberitahu Fox Business dalam satu temu bual yang disiarkan pada Selasa bahawa perjanjian yang baik dengan Iran bermaksud tiada senjata nuklear, tiada peluru berpandu, tanpa mengulas lanjut.

Netanyahu, yang sebelum ini dijangka mendesak Trump meluaskan diplomasi dengan Iran melampaui program nuklearnya termasuk mengehadkan senjata peluru berpandu, menekankan bahawa kepentingan keselamatan Israel mesti diambil kira.

Bagaimanapun, beliau tidak memberi sebarang petanda bahawa Trump telah membuat komitmen yang dicarinya.

Dalam pertemuan ketujuh mereka sejak Trump kembali memegang jawatan tahun lalu, lawatan Netanyahu kali ini lebih hambar berbanding biasa dan tertutup kepada media.

Beliau datang dengan hasrat untuk mempengaruhi pusingan perbincangan AS seterusnya dengan Iran susulan rundingan nuklear yang diadakan di Oman, Jumaat lalu.

Kedua-dua pemimpin itu berbincang secara tertutup selama lebih dua jam setengah dalam apa yang disifatkan Trump sebagai pertemuan yang sangat baik tetapi berkata tiada keputusan besar dicapai .

Trump sebelum ini mengancam menyerang Iran jika tiada persetujuan dicapai, manakala Tehran berikrar membalas dendam, sekali gus mencetuskan kebimbangan perang lebih luas ketika AS mengumpulkan tentera di Asia Barat.

Related posts

Leave a Comment