WASHINGTON – Pentadbiran Presiden Donald Trump mengumumkan akan menggunakan dana kecemasan sebanyak AS$5.25 bilion (RM22 bilion) untuk menyalurkan bantuan makanan secara separa kepada lebih 42 juta rakyat.
Sebelum ini, Jabatan Pertanian AS (USDA) memaklumkan dalam dokumen mahkamah, penerima Program Bantuan Pemakanan Tambahan (SNAP), atau kupon makanan, hanya akan menerima separuh daripada jumlah bulanan biasa mereka.
Ini susulan kekangan dana akibat penutupan kerajaan persekutuan yang bermula sejak 1 Oktober.
SNAP membolehkan golongan berpendapatan rendah membeli makanan asas menggunakan kad debit yang boleh diisi semula.
Purata bantuan untuk sebuah keluarga empat orang ialah AS$715 (RM3,000) sebulan, bersamaan AS$6 (RM25) sehari bagi setiap individu.
Mahkamah persekutuan di Massachusetts dan Rhode Island telah mengarahkan USDA supaya menggunakan dana kontingensi untuk memastikan pembayaran sekurang-kurangnya sebahagian manfaat SNAP diteruskan.
Kos bulanan program ini dianggarkan sekitar AS$8 bilion (RM33 bilion).
Walaupun pelaksanaan program dikendalikan oleh negeri-negeri, dana utama datang daripada kerajaan persekutuan yang kini tidak berfungsi.
Beberapa negeri dan bandar telah memfailkan saman terhadap pentadbiran Trump, mendakwa mereka mempunyai tanggungjawab undang-undang untuk meneruskan program tersebut.
Ada negeri yang menyatakan kesediaan untuk menggunakan dana sendiri bagi menampung kekurangan.
Setiausaha Perbendaharaan, Scott Bessent, berkata dalam temu bual CNN bahawa Presiden Trump mahu mendapatkan panduan mahkamah mengenai cara sah untuk memindahkan dana bagi membiayai SNAP.
